PAN Tolak Mahfuz Calon PH Parlimen Pokok Sena?


Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mungkin terpaksa mengadu kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad jika mahu bertanding di mana-mana kerusi di Negeri Kedah menggunakan tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).


Ini kerana wakil rakyat Bebas itu dikatakan ditolak oleh  Parti Amanah Negara (PAN) Kedah daripada bertanding semula atas tiket parti itu di Pokok Sena pada Pililhan Raya Umum ke-14.


Hanya Dr. Mahathir atau Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sahaja yang boleh membantunya kerana Mahfuz adalah 'penyokong kuat' pemimpin PPBM itu.


'Dilema' yang dihadapi oleh Mahfuz ialah tidak menyertai mana-mana parti dalam pakatan pembangkang selepas beliau mengisytiharkan keluar PAS pada hujung tahun lalu walaupun beliau menyokong kuat Pakatan Harapan.


Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden PAS dilaporkan hanya akan mengumumkan parti yang akan disertainya pada pertengahan sidang Parlimen ini. 


Beliau sebelum ini menyatakan parti-parti dalam PH termasuk DAP menawarkan kepadanya tetapi belum masih berahsia untuk menyatakan parti mana yang menjadi pilihan hatinya.


Menurut laporan NST hari ini,  PAN bahagian Pokok Sena telah membuat keputusan sebulat suara untuk menolak Mahfuz bertanding atas tiket parti itu. PAN akan meletakan calonnya di kawasan berkenaan pada PRU14.


Sekiranya Mahfuz 'berdegil' untuk bertanding pada PRU akan datang bagi kerusi Parlimen Pokok Sena, PAN tetap membantah tindakan itu.


Mahfuz dikatakan sudah 'mengisi borang' untuk bertanding semula di Pokok Sena secara senyap-senyap, kata satu sumber daripada PAN bahagian itu. 


PAN Pokok Sena menyifatkan Mahfuz sebagai 'tidak ikhlas' kerana tidak umumkan untuk sertai PAN lebih awal.


"Dalam mesyuarat PAN Pokok Sena baru-baru ini, semua menolaknya kecuali dua tiga sahaja yang sokong dia," katanya sumber itu kepada NST.


Mahfuz seolah-olah tidak dapat memisahkan dirinya dengan Pokok Sena kerana kerana beliau pernah kalah dan menang di kawasan itu sejak 1999.


Pada PRU 2008 dan PRU 2013 Mahfuz menang semula kawasan Parlimen itu semasa PAS bergabung dengan DAP dan PKR.


Selepas gagal mempertahankan jawatan dalam Muktamar PAS pada 2015, Mahfuz dilihat rapat dengan Dr. Mahathir dan cuba memujuk PAS menyertai Pakatan Harapan.  - Kedahnews.com