KUALA LUMPUR - Stress atau tekanan perasaan merupakan lumrah yang biasa dihadapi oleh masyarakat kita hari ini.
Di tempat kerja, universiti, rumah atau di mana sahaja, ia satu bentuk beban yang boleh menjadi lebih kronik seandainya tiada langkah kawalan segera.
Bagaimanapun, Juara Pencetus Ummah (PU) musim ke-2, Azman Syah Alias atau PU Azman memberitahu, Panama Dance sebenarnya menjadi penyelesaian kepada masalah berkenaan.
Dalam catatan terkini di laman Instagramnya, PU Azman memberitahu ia merupakan cara terbaik untuk terapi fizikal semasa mengalami tekanan.
Panama Dance kini tular di seluruh negara dan mampu membuat para pendengarnya terasa ingin turut serta menari.
Terdahulu, Panama merupakan sebuah lagu dinyanyikan oleh Matteo yang dimuat naik menerusi laman Youtube sejak tahun 2013.
Panama Dance mula menjadi popular selepas tarian itu dilakukan oleh artis Korea menerusi program realiti Law of The Jungle in Panama.
Selain itu, ramai juga yang telah membuat Panama Dance Challange termasuk golongan selebriti.
Sumber: Astro Awani