UNIK… Tabika Kemas biasanya disinonimkan dengan aktiviti dalam kelas yang berkait rapat dengan pembelajaran asas mengenal huruf dan mengira.
Namun, sebuah cawangannya di Pahang menggunakan pendekatan yang lebih unik dalam mendidik anak-anak yang belajar di situ.
Jawatankuasa Tabika Kemas Taman Jaya, Kemayan, telah mencetuskan suasana berkebun dengan menanam sayuran dan herba.
Antara tanaman sayuran adalah cili, kobis, bendi, kacang panjang dan salad, manakala tanaman herba termasuklah misai kucing, pokok ajaib, halia bara dan belalai gajah.
Tanaman tersebut dilakukan secara gotong-royong membabitkan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dengan menggunakan peralatan tanaman dan bahan kitar semula serta benih yang disumbangkan oleh ahli keluarga para pelajar.
Pengerusi Tabika Kemas Taman Jaya, Fadzil Sahaban, 67 berkata, tujuan kebun itu diadakan untuk menceriakan tabika tersebut selain membolehkan warga tabika kemas menikmati hasil tanaman sendiri.
Menurutnya lagi, pihaknya menyahut cabaran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mewujudkan Kebun Dapur walaupun tabika tersebut tidak menyertai Pertandingan Kebun Dapur Tabika Kemas pada tahun ini.
“Alhamdulillah, semua ibu bapa dan penjaga sentiasa beri komitmen. Kalau minta mereka datang untuk sebarang aktiviti, kehadiran mereka tidak pernah mengecewakan,” katanya pada akhbar tempatan.
Ujarnya lagi, kanak-kanak tabika kemas ini dapat mengenali beberapa jenis sayur menerusi pembelajaran luar kelas bersama guru apabila setiap sayur diletakkan tanda nama bagi memudahkan mereka mengeja, membaca dan mengenali sayur atau herba itu.
Hasil tanaman tersebut dijamin bersih dan selamat kerana tidak menggunakan baja kimia atau racun yang keterlaluan.
Kini, sayuran dan herba yang ditanam sedang membuahkan hasil yang dinikmati sendiri oleh warga Tabika Kemas Taman Jaya termasuk ibu bapa para pelajar. – Kedahnews.com