Peguam Risau, Farid Hanya Tahu Kes Melalui Twitter


KES melibatkan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil kembali menjadi bualan ramai apabila beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat.

Bagaimanapun, peguam pengarah terbabit iaitu Faizul Mohd Nasir dilaporkan mempersoalkan bagaimana pihak media mendapat maklumat lebih awal berhubung pertuduhan itu sebelum anak guamnya.

Memetik Mstar Online, Faizul berkata, anak guamnya yang pada ketika itu sedang bercuti di Langkawi hanya mengetahui berhubung perkara tersebut melalui Twitter.

Secara tidak langsung keadaan itu telah menimbulkan keresahan pihak pengadilan dan isu tersebut telah dibangkitkan oleh Faizul ketika prosiding di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Jelas beliau lagi, keadaan itu juga seolah-olah menggambarkan pihak polis memprejudiskan mereka dan memohon mahkamah untuk mengeluarkan perintah yang sesuai.

Pun begitu, sumber melaporkan tiada sebarang perintah mengenainya yang dikeluarkan.

Semalam, Farid sekali lagi didakwa atas pertuduhan membuat laporan polis palsu berhubung kononnya tiga rakan artis meletakkan dadah di dalam minumannya.

Namun, pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari itu mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan Farid diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Mei depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Farid dalam satu sidang media yang berlangsung di The Loft Event Space, Setia Alam mendedahkan gambar dua lelaki yang didakwa individu sebenar memasukkan dadah jenis ganja ke dalam minuman.

Pada masa sama, Farid turut menafikan dua rakan artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes tersebut adalah individu sebenar yang digambarkannya kepada polis.

Sekadar mengimbas semula, Farid juga pernah didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu. – Kedahnews.com