Pelajar Di DUN Pulau Manis Cemerlang SPM Bakal Dapat Komputer Riba


KUANTAN – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 6A ke atas dan menetap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, bakal menerima hadiah komputer riba.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud, berkata mereka perlu mengemukakan salinan keputusan dan surat tawaran belajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta kepada pejabat DUN berkenaan.

Katanya, pelajar cemerlang juga perlu membawa kad pengenalan ibu dan bapa bagi membuktikan kedua-dua mereka adalah pengundi di DUN Pulau Manis.

“Komputer riba ini adalah hadiah daripada saya untuk persediaan calon cemerlang menyambung pelajaran mereka ke IPT.

“Setakat ini, sudah ada 10 komputer riba untuk diserahkan kepada pelajar yang layak,” katanya ketika berucap pada Program Jom Sihat anjuran Perumahan Makmur Penor Utara Jaya (PUJ) di Indera Sempurna, di sini, semalam.

Sementara itu, Khairuddin mengajak komuniti setempat terus membantu agensi keselamatan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman di kawasan kediaman masing-masing.

Katanya, ini kerana tanggungjawab dalam isu keselamatan tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan dan agensi keselamatan semata-mata.

“Penduduk mempunyai tanggungjawab dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi jenayah.

“Komitmen daripada komuniti setempat penting kerana menerusi pelbagai program yang diadakan bersama agensi keselamatan, ia mampu mengurangkan kadar jenayah,” katanya. 

Sumber – BH