Pelajar Keluarga B40 Diberi Keutamaan Masuk SBP


KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan kerajaan masih lagi memilih pelajar daripada keluarga kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Justeru, beliau menafikan dakwaan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang menyatakan matlamat asas kerajaan dalam menyediakan SBP kini sudah tersasar dan tidak lagi menekankan bantuan kepada anak golongan miskin.

“Kerajaan masih lagi memilih pelajar daripada keluarga isi rumah B40 di bandar dan luar bandar dengan syarat kelulusan yang membolehkan mereka berada di SBP,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat, kelmarin.

Mengenai masalah salah laku pelajar di sekolah, Mahdzir berkata pihaknya telah mengambil pelbagai langkah antaranya dengan melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang mengenal pasti prestasi pelajar bukan sahaja dari segi akademik tetapi aspek lain seperti sahsiah diri.

“Pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) juga menjalin kerjasama dengan pihak polis sebagai pihak pemantau bagi mengatasi masalah salah laku pelajar,” katanya. — Bernama