Pelajar Malaysia Lebih Gembira Hadapi Peperiksaan Berbanding Negara Asia Lain


KUALA LUMPUR - Pelajar Malaysia didakwa lebih tenang dan gembira berbanding pelajar lain di Asia yang menderita kebimbangan menjelang musim peperiksaan.

Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2015 Jilid 3 mendedahkan, sebanyak 67 peratus pelajar Malaysia bimbang akan peperiksaan, namun peratusan itu masih rendah berbanding China, Kong, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.

Menurut perunding firma global McKinsey & Company, Li-Kai Chen, terdapat negara di timur Asia yang cemerlang dalam bidang akademik tetapi memiliki tahap kebimbangan yang tinggi dan tahap kepuasan hidup yang rendah.

Menurut laporan firma tersebut, kebimbangan terhadap kerja sekolah menjadi punca para pelajar risau dengan kebarangkalian mereka memperoleh keputusan lemah, berasa bimbang ketika membuat persediaan peperiksaan dan gementar apabila mereka tidak tahu kaedah untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Dalam kebanyakan negara, pelajar yang mempunyai prestasi pelajaran yang lemah sahaja menunjukkan tahap kebimbangan yang tinggi.


Namun di negara yang berprestasi tinggi di Asia seperti Hong Kong dan China, pelajar cemerlang turut mengalami masalah kebimbangan.

Menurut Chen, pelajar Malaysia lebih tenang dan gembira berbanding pelajar di negara jiran, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.

"Keputusan ujian kebimbangan yang rendah adalah bagus, tetapi mereka yang langsung tidak berasa bimbang juga tidak bermaksud ia lebih baik kerana kerisauan menjadi faktor kepada peningkatan prestasi," kata beliau.

Tambah Chen, pelajar di negara berprestasi tinggi seperti Estonia dan Finland pula memiliki tahap kebimbangan yang rendah, tetapi tahap kepuasan hidup yang tinggi.

Beliau mendakwa situasi tersebut berbeza berbanding negara-negara di Asia.

"Jika negara-negara Asia yang berprestasi tinggi dapat mempertahankan reputasi mereka kerana mempunyai beberapa sistem sekolah yang terbaik di dunia, mereka perlu berusaha untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang, tetapi dapat menggunakan prestasi tersebut secara kreatif.

"Sekiranya anda ingin mengubah sistem pendidikan negara daripada lemah kepada lebih baik, jangan lihat apa yang dilakukan Finland sekarang.

"Tetapi, anda perlu melihat apa yang telah mereka lakukan 20 tahun lalu," katanya.

Sumber: Mstar Online