Peluang Barisan Nasional (BN) untuk menawan kerusi di Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) cerah berdasarkan terdapat trend penurunan majoriti pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) 2013 berbanding 2008.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti komponen BN supaya berkerja keras, tidak berpuak atau memihak dan mengenepikan masalah dalaman dalam usaha memenangkan sesiapa calon yang bertanding atas tiket BN di Parlimen Padang Serai.
"Kalau kita lihat keputusan PRU lalu antara calon yang lawan kita dan calon BN, kita kalah 8,437. Berbanding N. Gobalakrishnan, dia lebih hebat lagi dengan majoriti 11,738 (PRU-12). Ertinya ada trend penurunan (dari segi majoriti dimenangi pembangkang pada PRU-13 berbanding sebelumnya).
"Kalau pemimpin seperti beliau (Gobalakrishnan) boleh kembali ke pangkal jalan (bersama BN semula), bagaimana kalau 8,400 (penyokong pembangkang) berjaya beralih (kepada BN) atas sebab kempen kesedaran," katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Padang Serai, petang semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan tiga elemen penting yang harus ada dalam kalangan pemimpin UMNO dan BN untuk terus memastikan kemenangan parti itu pada PRU-14.
"Satu daya tahan, kedua daya juang dan ketiga daya saing. Jika ketiga-tiga elemen ini terus kukuh dalam diri kita pemimpin-pemimpin dan seluruh saf dan ahli akar umbi, parti-parti komponen BN, we are way to create another victory," ujarnya.
Sumber: Utusan