Pembantu Makmal Rugi RM58,290, Ditipu Macau Scam


KUANTAN: Akibat takut dengan dakwaan terbabit kes dadah, seorang pembantu makmal di Raub kerugian RM58,290 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis.

Kejadian penipuan berkenaan bermula pada 8 Mac lalu ketika mangsa berusia 58 tahun menerima panggilan daripada seorang wanita bernama Amalina dari sebuah bank.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita itu mendakwa mangsa mempunyai pinjaman bank sebanyak RM70,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,295 selama tempoh 60 bulan.

"Mangsa diberitahu mempunyai tunggakan bayaran bulanan sebanyak dua bulan namun dia menafikan perkara berkenaan sebelum diminta untuk membuat aduan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian disambungkan dan bercakap seorang seorang lagi suspek bernama Teo yang memberitahu dia terbabit dengan kes dadah.

"Panggilan mangsa disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Farid yang menyatakan waran tangkap atas nama mangsa ada padanya.

"Untuk menyelesaikan masalah berkenaan, mangsa diminta untuk membuka akaun CIMB kerana mempunyai sistem SPNS. Sistem SPNS dikatakan sistem yang mengawal ketat wang di dalam akaun dari dicerobohi oleh orang lain," jelasnya.

Katanya lagi, pada hari yang sama, mangsa pergi ke CIMB cawangan Raub untuk membuka akaun baharu dan semua maklumat bank itu diberikan kepada Inspektor Farid melalui aplikasi Whatsapp.

"Mangsa kemudian mendepositkan wang RM25,000 ke akaun CIMB yang baharu dibuka sebelum ke Bank Islam Cawangan Raub dengan membuat transaksi pindahan sebanyak RM17,490.

"Pada keesokan harinya, mangsa sekali lagi pergi ke bank Islam cawangan Raub dan membuat transaksi pindahan sebanyak RM5,700 ke dalam akaun CIMB yang sama," katanya.

Beliau berkata pada 13 Mac lalu, Inspektor Farid menghubungi mangsa dan memberitahu kes sudah selesai serta dia perlu membayar wang jaminan sebanyak RM10,000.

"Mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke akuan CIMB yang baharu dibuka itu. Namun pada Khamis lalu, mangsa mendapati wang dari akuan CIMBnya sudah hilang dan dipindahkan ke akaun lain tanpa pengetahuannya.

"Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam selepas berasa ditipu," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit.

Sumber: Astro Awani