PETALING JAYA - Seorang lelaki tular di Twitter selepas keluhannya mengenai seorang ibu yang didakwa tidak melakukan apa-apa bagi menenangkan bayinya semasa menggunakan pengangkutan awam telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Shamirul Nazrin mendakwa anak wanita tersebut mula menangis selepas sejam menaiki bas dan mengganggu dirinya yang sedang menonton filem menerusi telefon bimbit.
"Saya tak suka ibu bapa yang tidak pandai jaga bayi. Tempat duduk saya satu (tunggal), tempat duduk sebelah ada dua (berkembar)... seorang ibu dan bayinya.
"Satu jam yang pertama okay lagi, lama sikit bayi tu sudah mula menangis. Teka apa yang ibunya lakukan? Nothing," katanya menerusi video yang dimuat naik pada Sabtu lalu.
Dakwa Shamirul Nazrin, wanita tersebut hanya berlagak selamba sehingga membuatkan dirinya baran kerana 'terperangkap' dalam situasi itu.
Pemuda itu bagaimanapun menegaskan bahawa dia tidak menyalahkan bayi yang menangis itu kerana ia adalah tanggungjawab si ibu untuk menenteramkan anaknya.
Posting tersebut menerima sebanyak 4,313 kali retweet (diulang kicau) dan 3,047 like (tanda suka).
Biarpun terdapat segelintir netizen yang menyokong kenyataan lelaki tersebut, namun ia turut mengundang kecaman daripada mereka yang sudah bergelar ibu bapa.
Seorang pengguna Twitter, @nabilahaliya45 berkata: "Mak selalu pesan nanti dah ada anak kecil, jangan pergi tempat orang ramai.
"Sebab belum tentu orang selesa dengan keberadaan kita di situ, lagi-lagi kalau bayi menangis. Jadi, video ini sudah rumuskan semua nya."
Manakala, seorang lagi netizen, @fiezam_cechips bagaimanapun tidak bersetuju dan menasihatkan agar Shamirul Nazrin bersangka baik dengan wanita tersebut.
"Biar betul? Aku rasa mak dia pun tidak tahan bayi dia menangis. Mak dia juga manusia juga.
"Mungkin mak dia dah putus asa nak tenangkan bayi dia. Tak mengapalah, bersangka baik," tulisnya.
Selepas dikecam netizen, pemuda berkenaan mengakui kesilapannya kerana bertindak 'bodoh dan jahil' serta akan cuba lakukan yang terbaik untuk tidak menghasilkan posting yang menyinggung orang lain.
"Kalau anda semua tidak boleh maafkan saya, sekurang-kurangnya hentikan perbuatan mengejek penampilan fizikal saya. Saya manusia biasa yang ada kelemahan," tulisnya pada posting baharu di Twitter.
Sumber: Mstar Online