Pemuda PPBM Johor Desak Mahathir, Muhyiddin Beri Penjelasan


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan presidennya , Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menerima desakan daripada  ahli parti itu sendiri .

Ahli-ahli PPBM meminta pengakuan jujur Dr. Mahathir mengenai kekayaan luar biasa keluarganya semasa menjadi perdana menteri 22 tahun yang ditimbulkan oleh berbagai pihak.

Mereka juga mahu penjelasan Muhyiddin berkaitan dakwaan hubungan beliau dengan seorang wanita hingga menyebabkan perceraian sepasang suami isteri.


Desakan kali ini datang daripada ahli pemuda  PPBM Pagoh di mana Muhyiddin menjadi ahli Parlimennya selain PPBM Pasir Gudang dan PPBM Johor Bahru.


Wakil kumpulan itu, Johari Sulaiman berkata, ahli Pemuda PBBM negeri melahirkan rasa kesal apabila isu melibatkan Dr. Mahathir dan Muhyiddin masih tidak dijawab oleh kedua-dua pemimpin utama parti berkenaan.


"Kami mahu Dr. Mahathir dan Muhyiddin bercakap dengan jujur atas segala tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dan sekiranya perkara itu suatu  fitnah, saman mereka yang mendakwanya” katanya.


Pada sidang media semalam, ahli PPBM itu juga  berkata mereka bersedia menerima sebarang bentuk hukuman dan tindakan disiplin daripada pucuk pimpinan ekoran memebuat desakan itu.


Baru-baru ini desakan yang sama disuarakan oleh Pemuda PPBM daripada Jerai dan Merbok,  Kedah.


Sementara itu lebih 50 ahli sayap Pemuda PPBM mahu  Muhyiddin  menyelesaikan masalah dalaman PPBM terlebih dahulu berbanding 'menyibuk' urusan penangguhan pemilihan UMNO.


Bekas Exco Pemuda PPBM, Muhd. Syazwan Ahmad Zainal berkata, ahli-ahli parti terutama golongan muda mahukan segala permasalahan dalaman PPBM segera diselesaikan.


“Kami di peringkat akar umbi sudah muak dengan sandiwara yang dimainkan barisan kepemimpinan atasan parti termasuk mencampuri hal parti lain bagi mengaburi masalah dalaman kita.


“Muhyiddin tak perlu sibuk jaga tepi kain UMNO sampai mempersoalkan kenapa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membenarkan penangguhan pemilihan parti itu sedangkan urusan rumah sendiri pun tak selesai lagi,” katanya pada sidang akhbar Jumaat lalu.- Kedahnews.com.