Pemulihan Bekalan Air Di Selangor dan KL Masih Bawah 50 Peratus


KUALA LUMPUR – Proses pemulihan bekalan air di kawasan sekitar Lembah Klang sejak Jumaat berjalan lancar dan pulih secara berperingkat-peringkat, dengan Petaling, Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih mencatatkan kadar pemulihan yang rendah.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), setakat pukul 7 pagi Sabtu peratusan pemulihan berdasarkan jumlah keseluruhan akaun yang terkesan adalah sebanyak 73 peratus.

Dalam tempoh itu, peratusan pemulihan di kawasan Petaling, Kuala Lumpur dan Kuala Langat masing-masing pada kadar 47.5 peratus, 30.4 peratus dan 17.8 peratus.

Bagi daerah Hulu Selangor, Klang dan Gombak, peratusan pemulihan masing-masing adalah 98.8 peratus, 85.5 peratus dan 77.8 peratus.

“Bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air digerakkan secara berterusan ke kawasan yang masih dalam proses pemulihan dan Pusat Khidmat Setempat diaktifkan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” kata Syabas dalam satu kenyataan.

Pelanggan boleh mendapat maklumat terkini dengan menghubungi pusat panggilan talian 15300 atau 1800-88-5252 dan mendapatkan status terkini mengenai ganggunan bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit pintar ‘mySYABAS’, www.syabas.com.mydan Facebook Air Selangor. – Bernama