Penagih Dadah Jejaskan Pembangunan Bandar


KULIM – Penagihan dadah yang serius boleh menjejaskan perancangan dan pengindahan sesebuah bandar, kata Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Beliau berkata dengan jumlah penagih baru yang meningkat antara 30 dan 50 orang setiap tahun di daerah ini, permasalahan ditimbulkan golongan itu bukan saja melibatkan anggota keluarga mereka, tetapi kini merebak hingga mengganggu perancangan pembangunan di bandar.

“Memang diakui pihak pengurusan pembangunan dan pengindahan di bandar Kulim berdepan masalah yang bukan sedikit disebabkan penagih dadah ini.

“Bila pasang lampu hiasan di taman, mereka kebas…buat kolam air terjun, pam air kena curi, pasu bunga pun mereka ambil…macam mana pegawai tak pening. Nilai kerugian kadang-kadang mencecah ribuan ringgit,” katanya selepas merasmikan Program Karnival Hidup Tanpa Dadah peringkat Parlimen Kulim-Bandar Baharu di sini semalam.

Beliau berkata budaya ‘ambil tahu’ juga harus ada pada setiap individu kerana bagi membanteras masalah dadah memerlukan kerjasama daripada masyarakat terutama jiran tetangga.

Dalam pada itu, pelbagai program dan aktiviti diadakan sepanjang Karnival Hidup Tanpa Dadah itu bermula semalam dan hari ini.

Antararanya, Jambori Basikal Lasak, pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pengedaran 50,000 gelang tangan getah kepada orang ramai sebagai sokongan kepada program perangi dadah. – BERNAMA