Penat Jadi ‘Baik’, Farah Nak Jadi 'Jahat' Pula?


SELEPAS membintangi drama Titian Cinta yang telah menaikkan namanya, Farah Nabilah kini berasa agak bimbang jika dia berterusan membawa watak yang sama dalam setiap lakonan.

Disebabkan sudah terbiasa dengan watak gadis baik, Farah kini lebih mahukan cabaran dalam lakonan dan kini dia dapat menarik nafas lega apabila menerima beberapa watak yang menjadi impiannya.

“Selepas kejayaan Titian Cinta, saya risau juka terus diberikan watak baik. Ia sering berlaku dalam kebanyakan pelakon. Malah ada beberapa drama yang menawarkan karakter hampir sama dengan Aisy dalam drama Titian Cinta,” katanya dipetik daripada BH Online.

Namun, tuah kini menyebelahi gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu apabila ada penerbit yang mula memberikan kepercayaan kepadanya dengan memberikan watak yang berlainan termasuk sebagai antagonis.

“Mujur saya dapat lari daripada karakter baik apabila diberi watak antagonis menerusi drama Halalkan Hati Yang Ku Curi bagi slot Akasia TV3 pada Ramadhan ini.

“Drama tersebut merupakan lakonan pertama saya membawakan watak jahat,” tambah gadis berusia 26 tahun itu.

Bagaimanapun, sebagai seorang pendatang baharu Farah akui bahawa populariti pelakon itu sukar diramal dan tidak boleh terlampau memilih.

Disebabkan itu pemenang Pencarian Wajah Aurawhite itu perlu mempelbagaikan lagi karakternya bagi memastikan penonton dapat melihat bakatnya.

Walaubagaimanapun, Farah tidak dapat menolak jika ada beberapa tawaran yang diterima memerlukan dia membawa watak sebagai seorang wanita teraniaya kerana baginya, dunia lakonan merupakan sumber pencariannya.

“Pada masa yang sama, saya berharap diberi watak yang menguji. Sementara dikenali, saya nak tunjukkan kelainan sisi lakonan. Lagipun susah untuk kita ramal sejauh mana kita mampu bertahan dalam industri.

“Ketika masih diterima, saya mahu berikan hasil kerja yang mampu menambah warna dalam kemunculan saya,” ujarnya lagi.

Pada masa lapang, Farah juga gemar memasak dan disebabkan itu, dia menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pengacara.

Lebih-lebih lagi bagi program memasak kerana baginya, dia perlu mencuba bidang yang berbeza bagi mengukuhkan lagi namanya dalan industri.

Jadi, dia secara langsung terbuka hati dalam menerima apa jua tawaran yang diberikan pada masa akan datang. - Kedahnews.com