KUALA LUMPUR - Pencarian bangkai pesawat MH370 oleh firma Ocean Infinity dijangka akan selesai pada pertengahan Jun nanti, menurut Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (Civil Aviation Authority) Azharuddin Abdul Rahman pada Sabtu lepas.
Beliau membuat kenyataan demikian ketika menghadiri majlis memperingati tragedi MH370 di Kuala Lumpur yang menandakan empat tahun pesawat MH370 hilang dan kekal menjadi tanda tanya sehingga hari ini.
Menurutnya, kerajaan Malaysia bersetuju untuk membayar sehingga $70 juta (anggaran RM270 juta) kepada firma eksplorasi dasar laut dari Amerika Syarikat itu jika pesawat MH370 itu ditemui dalam lingkungan 90 hari pada awal tahun ini dan memulakan operasi pencarian pada 23 Januari lepas.
“Namun begitu, perjanjian pencarian selama 90 hari itu tidak termasuk hari untuk kapal itu berlayar menuju ke pelabuhan bagi tujuan mengisi minyak,” jelasnya.
“Kapal itu mempunyai kitaran kerja selama 26 hari sebelum ianya berhenti untuk mengisi semula minyak dan bekalan untuk meneruskan operasi,” tambahnya.
Beliau juga berkata perancangan untuk pemulihan bangkai pesawat atau perakam penerbangan akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu, sekiranya pesawat itu ditemui dan ianya melibatkan beberapa agensi dari Malaysia dan Australia.
“Pihak kita akan mengambil peranan dalam penjagaan mana-mana bahagian pesawat yang ditemui dari dasar laut,” lanjutnya.
Kapal Seabed Constructor itu telah selesai dalam melengkapkan pencarian bahagian pertama, iaitu meliputi 8,200 kilometer persegi dan kini telah menuju ke kawasan pencarian yang baru, menurut kenyataan mingguan firma Ocean Infinity pada Selasa.
“Tiada sebarang penemuan yang penting setakat ini,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Sebelum ini, Australia, China dan Malaysia telah membelanjakan sejumlah $159.38 juta (anggaran RM601 juta) untuk pencarian kapal MH370 meliputi 120,000 kilometer persegi di dasar Lautan Hindi pada Januari tahun lepas.
Penerbangan kapal MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa seramai 239 orang, hilang pada 8 Mac 2014.
Sumber: Awani