Penduduk Boleh Minta Ganti Rugi Dari Kontraktor


IPOH – Sebarang kerosakan yang berlaku pada premis disebabkan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Rangkaian Paip Pembentungan di Daerah Kinta akan ditanggung oleh kontraktor yang dilantik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Seri SK Devamany.

Bagaimanapun, katanya kerja membaik pulih kerosakan itu akan dilakukan selepas projek berkenaan siap sepenuhnya.

“Kita akan pastikan pihak kontraktor akan baiki jika berlaku kerosakan dan dan telah termaktub dalam perjanjian sekiranya berlaku keretakan atau kerosakan kontraktor akan baiki.

Tetapi ia akan mengambil sedikit masa kerana kalau pembinaan masih berjalan, kita khuatir ia akan rosak semula kerana pemendapan akan berlaku disebabkan gegaran ketika kerja-kerja mengorek,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat dan Penyelarasan Perlaksanaan Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Rangkaian Paip Pembentungan di Papan, daerah Kinta di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aduan penduduk di kawasan Lahat yang mendakwa kediaman mereka rosak akibat perlaksanaan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Devamany berkata mana-mana penduduk yang mengalami masalah sama boleh membuat aduan kepada kementeriannya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya bersabar di atas kesulitan akibat perlaksanaan projek itu.

“Kita mahu memberi kesedaran serta maklumat kepada rakyat bahawa apabila projek-projek besar sebegini dilakukan akan ada beberapa masalah terutamanya aliran trafik namun kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk keselesaan rakyat,” katanya.

Projek bernilai RM2 bilion ini bakal memberi manfaat kepada 1.5 juta penduduk di sekitar daerah Kinta, meliputi tiga pakej termasuk pembinaan rangkaian paip pembentungan di pusat bandar ipoh serta pembinaan loji rawatan kumbahan serantau di Papan.

Apabila siap sepenuhnya sistem rangkaian paip pembentungan sepanjang 160 kilometer pada 2021, dijangkakan pengurusan sisa kumbahan dari premis domestik, industri dan komersil dapat diurus dengan lebih baik. – Bernama