KUALA LUMPUR – Semua pengadil perlu menggunakan pendekatan yang lebih sistematik supaya dapat mengawal diri daripada terlalu mudah melayangkan kad ketika mengadili sesuatu perlawanan.
Saranan itu dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh selepas melihat jumlah layangan kad yang dilihat agak tinggi dalam semua perlawanan yang diharungi setakat ini.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan kerisauan jawatankuasa berkenaan.
Justeru, Subkhiddin mahukan pengadil supaya menggunakan personaliti, faktor manusia dan juga pengurusan perlawanan sebagai usaha untuk mengurangkan jumlah kad dalam sesuatu perlawanan.
“Kita mahu mengurangkan jumlah layangan kad kerana kalau kita tidak mahu situasi ini menimbulkan persepsi di mana perlawanan bola sepak di sini seakan-akan peperangan. Pengadil seharusnya lebih bijak dalam menangani insiden ketika mengadili perlawanan.
“Jadi, kita mengharapkan pengadil dapat mengawal layangan kad menggunakan pendekatan yang lebih baik. Kita tidak mahu mereka sekadar mengawal perlawanan menggunakan kad sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini, petik BH
Setakat 1 Mac, sebanyak 314 kad kuning dan lapan kad merah dilayangkan pengadil membabitkan semua aksi Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Presiden dan juga Piala FAM.
Berdasarkan pecahan menerusi dua saingan divisyen utama, sebanyak 78 kad kuning dan satu kad merah dilayangkan bagi aksi Liga Super sementara 81 kad kuning serta dua kad merah membabitkan perlawanan Liga Perdana.
Dalam masa sama, Subkhiddin turut menegaskan pihaknya memandang serius mengenai kekerapan layangan kad yang dikeluarkan dengan mereka sentiasa memantau persembahan setiap pengadil untuk perlawanan yang akan datang.
“Kita akan teruskan statistik sebegini untuk melihat ada penurunan ataupun tidak selepas ini. Tidak dinafikan kad sememangnya penting untuk mengawal permainan namun saya mengharapkan ia dapat dikurangkan.
“Ini supaya saingan bola sepak tempatan menjadi lebih bersih,” katanya.
Sumber: Suara TV