Sempena bulan kemerdekaan dan akan tibanya Hari Malaysia pada 16 September nanti marilah kita sama-sama mengimbau kembali perjuangan para pejuang Tanah Air kita pada masa dahulu dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Peristiwa ini berlaku di Gubir, Kedah yang melibatkan beberapa orang anggota tentera melakukan operasi rondaan dalam usaha memburu kemaraan komunis di Malaysia. Pengalaman yang dilalui oleh Mohamed Noor Abdullah telah diceritkan kepada kami.
Menurutnya, peristiwa yang menyebabkan rakannya terpelanting akibat terkena jerangkap samar hampir 37 tahun lalu antara peristiwa yang sukar untuk dilupakan sepanjang beliau berkhidmat sebagai anggota tentera.
Pada ketika itu hanya kira-kira 18 anggota tentera termasuk dirinya menjalankan operasi memburu pengganas komunis di sekitar kawasan Gubir Kedah pada tahun 1979. Kejadian tersebut dikatakan berlaku secara tiba-tiba dan mengejut. Pada waktu kejadian tersebut Mohamed Noor berada di hadapan rakannya yang menjadi mangsa jerangkap samar tersebut iaitu Saad yang berada di belakangnya.
Tidak sampai beberapa minit sahaja kami sampai di satu kawasan tebing sungai, tiba-tiba sebuah letupan yang kuat berlaku. Mohamed Noor menoleh ke belakang dan melihat rakannya Saad telah terpelanting jauh dari mereka. Pada waktu itu mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu tunduk untuk bersiap sedia sekiranya terdapat pengganas komunis yang datang menyerang.
Suasana pada waktu itu sungguh memilukan kerana kami hanya mampu melihat sahaja Saad mengerang kesakitan. Kami tidak boleh mendapatkannya terus pada waktu itu kerana biasanya pengganas komunis akan mengambil kesempatan menyerang anggota tentera.
Mereka perlu berkawal seketika supaya tiadanya ancaman daripada pengganas komunis sebelum mendapatkan Saad. Saad mengalami kecederaan parah di bahagian tapak kaki dan saya ada memberi kata-kata semangat terhadap Saad supaya bertahan sebelum dibawa ke kawasan selamat.
Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya terhadap komunis. Kebencian saya terhadap pengganas komunis meluap-luap dan sekiranya terdapat pengganas komunis pada waktu itu memang akan ditembaknya.
Saad telah dikerjakan ke hospital di Kedah sebelum diterbangkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dikatakan bahawa Saad telah selamat.
Katanya kemerdekaan yang dinikmati hari ini perlulah dijaga dengan sebaik mungkin. Bukan senang untuk kita memperoleh kemerdekaan ini. Dia sangat sedih apabila melihat segelintir sikap anak muda apabila tibanya sambutan kemerdekaan.
Mereka seolah-olah tidak mengerti akan makna kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan yang dikecapi ini memerlukan pengorbanan nyawa yang sangat banyak jadi kita seharusnya perlu sama-sama menghargai dan menyambutnya dengan sepenuh jiwa serta raga.