'Perlekeh Jenama Telefon Pintar Tindakan Tak Matang'- Janna Nick


KUALA LUMPUR - Pelakon dan penyanyi, Janna Nick, menyifatkan tindakan seorang selebriti laman sosial atau 'instafamous' memperlekehkan jenama telefon pintar keluaran Asia seperti yang tular, baru-baru ini, sebagai tidak matang.

Janna, 22, yang juga duta kepada sebuah jenama telefon keluaran China berkata, perbandingan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih peranti ingin mereka gunakan.

"Pada saya, hanya budak-budak sekolah yang belum matang suka memperlekeh dan membandingkan jenama sesebuah produk.

"Setiap orang ada cita rasa dan pilihan tersendiri. Saya sendiri lebih gemar memilih ciri-ciri yang ada pada sesebuah telefon pintar, seperti skrin besar yang memudahkan kita untuk membuat kerja, kelajuan dan juga beratnya, berbanding hanya melihat pada jenama," katanya.

Bintang drama Isteri Untuk Diiktiraf itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan jenama telefon pintar Vivo 9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang selebriti laman sosial menjadi mangsa kecaman netizen apabila dia memuat naik video yang menunjukkan dirinya memperlekehkan sebuah jenama apabila diminta memilih antara dua produk telefon pintar terkemuka di pasaran.

Tambah penyanyi Akan Bercinta itu, isu berkenaan bagaimanapun tidak perlu diperbesarkan kerana pandangan yang dikeluarkan itu lebih bersifat peribadi.

Sumber: BH Online