Pertumbuhan Ekonomi Bantu Institusi Pendidikan


ALOR SETAR - Kejayaan negara mencatat pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus pada 2017 membuktikan kemampuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelas beliau, apa lebih utama, laporan yang dikeluarkan Program Tranformasi Negara turut menunjukkan peningkatan sektor swasta kepada 68 peratus.  

"Ini secara tidak langsung memberi kesan positif terhadap pelbagai institusi lain termasuk pendidikan," katanya memetik Bernama.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Turun Padang Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke daerah Kulim-Bandar Baharu di sini kelmarin.

Menurutnya, contoh terbaik daripada impak ekonomi tersebut adalah pertambahan kemasukan kanak-kanak ke prasekolah.

Ia adalah antara kejayaan dalam memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak berusia empat, lima dan enam tahun ke prasekolah meningkat.

"Ini terbukti dengan pertambahan kemasukan ke prasekolah iaitu di sekolah kebangsaan, KEMAS, Perpaduan dan swasta yang berdaftar dengan kementerian," ujarnya.

Pada masa sama, KPM turut menyerahkan peruntukan sejumlah RM2.6 juta kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulim bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan 119 sekolah di seluruh daerah ini. - Kedahnews.com