Pesakit Beguk Digesa Asingkan Diri


SHAH ALAM - Orang ramai yang mengalami penyakit kluster 'mumps' atau beguk perlu mengasingkan diri buat seketika dan tidak bergaul dengan masyarakat bagi mengelak ia merebak dan menjangkiti individu lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun penyakit akibat jangkitan virus itu biasanya akan hilang dengan sendiri namun ia mudah menjangkiti individu lain yang tidak mendapatkan imunisasi secukupnya semasa kanak-kanak.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 10 jenis vaksinasi disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan pihaknya amat mengharapkan masyarakat tidak ketinggalan untuk mendapatkannya di mana-mana klinik kesihatan.

"Golongan ibu bapa disaran supaya tidak mengabaikan sebarang suntikan imunisasi kepada anak-anak berikutan ia merupakan langkah pencegahan terbaik untuk mengelakkan sebarang jangkitan penyakit antaranya beguk," katanya selepas melancarkan Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan 2016-2030 (Pelan 6P) sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan 2018 peringkat kebangsaan di sini, semalam.

Mengulas kes beguk yang menjangkiti warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini, beliau berkata perebakan itu mungkin disebabkan ada dalam kalangan pelajar dikhuatiri tidak mendapatkan imunisasi secukupnya.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau isu berkenaan termasuk sebarang jangkitan penyakit lain melibatkan pelajar, dan ini dilakukan dengan jalinan kerjasama erat  dengan  pihak sekolah.

Pada 2 Mac lepas, media melaporkan 70 pelajar dan tiga guru SMKA dikesan menghidap penyakit  beguk sejak kes pertama dikesan pada 20 Feb lalu.

Penyakit beguk disebabkan jangkitan paramikxovirus yang boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek tercemar dengan air liur pesakit. 

Antara simptom pada pesakit beguk termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur), dan mereka perlu segera mendapatkan khidmat nasihat doktor. -BERNAMA