Setakat manakah rakyat Malaysia mempunyai keprihatinan dan peka terhadap masalah yang melibatkan kesihatan mental.
Tidak seperti masalah kesihatan lain seperti jantung dan diabetes yang lazimnya diberikan tumpuan, masalah kesihatan mental agak kurang diberikan perhatian.
Hakikatnya, masalah ini memberikan impak dalam masyarakat apabila kecenderungan pesakit atau mereka yang berhadapan masalah kesihatan mental bertindak ganas mahupun membunuh diri.
Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Micheal Ang Jin Kiat, masyarakat perlu mendalami sendiri apakah itu penyakit mental.
Sebenarnya, penyakit ini biasa berlaku dalam masyarakat dan antara penyakit yang memerlukan rawatan sebagaimana penyakit-penyakit lain kerana tanpa disedari si penghidapnya menderita teruk dalam diam.
“Penyakit mental ini boleh dihidapi sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, bangsa dan tahap pendidikan. Penyakit ini menyebabkan fungsi individu atau si penghidapnya terjejas teruk.
“Namun, penyakit ini bukan bermakna si penghidapnya lemah yang menyebabkan mereka perlu didiskriminasi.
“Penyakit mental terdiri daripada pelbagai jenis seperti, skizofrenia, kemurungan yang teruk dan bipolar.
“Skizofrenia boleh mencetuskan masalah halusinasi apabila pesakitnya merasakan atau mendengar sesuatu bisikan.
“Apabila ini berlaku si pesakit tidak boleh lagi menumpukan perhatian atau fokus kepada apa yang dibuat kerana merasakan terlalu tertekan, mendengar bisikan dan suara yang berkata-kata kepada mereka.
“Mereka juga akan terdedah dengan gangguan bayangan atau khayalan yang keterlaluan sehingga boleh bertindak ganas,” katanya dalam Bengkel Interaktif, Pertolongan Cemas untuk Kesihatan Mental yang dianjurkan oleh Pfizer, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bengkel bertujuan memberi pemahaman masalah mental yang umum, punca dan akibat, serta mengenali tanda-tanda awal dan simptom utama penyakit mental.
Dalam pada itu, Dr. Micheal menambah, bagi masalah kemurungan keterlaluan, penyakit ini perlu dirawat dengan segera.
Lazimnya, masalah ini banyak dihidapi wanita yang sering mengalami tekanan seperti kerja seharian, menguruskan rumah tangga dan kemurungan selepas bersalin.
“Tanda-tanda kemurungan sebenarnya boleh dilihat. Antaranya, perubahan dalam tingkah laku individu berkenaan dengan kelihatan amat sedih, tiada mood, tidak mahu melakukan aktiviti, tiada selera makan, terasa tiada keseronokan hidup, sedih akibat diri terbeban, berasa seolah-olah menyusahkan orang, resah, bersalah dan sebagainya,” katanya.
Setakat ini, 40 peratus daripada penghidap skizofrenia pernah bertindak cuba untuk membunuh diri, manakala punca sebenar gangguan bipolar masih tidak diketahui dengan tepat.
“Gangguan bipolar dipercayai disebabkan pelbagai faktor yang bertindak bersama lalu mencetuskan masalah pada otak. Antara faktornya ialah keturunan. Individu yang ada sejarah keluarga mengalami gangguan bipolar mempunyai risiko tinggi mendapat masalah sama,” katanya.
Gangguan bipolar menyebabkan perubahan emosi berepisod, iaitu daripada terlalu gembira kepada sedih dan hilang semangat, kemudian gembira semula antara emosi ‘normal’. Perubahan emosi ini selalunya diikuti perubahan tenaga dan kelakuan. Keadaan berubah-ubah antara terlalu gembira dan sedih, yang dipanggil sebagai episod mania dan kemurungan.
Bagaimanapun, masalah ini sukar dikesan kerana pesakit biasanya tampak gembira dan progresif.
Dua sifat positif ini secara tidak langsung melindungi masalah sebenar yang dihadapi pesakit, sedangkan mereka juga mengalami pelbagai gejala kemurungan yang berulang.
Setiap tiga daripada 10 rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas (atau 29.2 peratus) mengalami pelbagai masalah kesihatan mental
Statistik dari Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan terkini itu, menunjukkan menjelang 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan yang kedua terbesar membahayakan rakyat negara ini selepas penyakit jantung.
Dukacitanya, penyakit mental masih disalah faham di Malaysia. Ada yang menyamakan penyakit mental dengan kurang waras, manakala segolongan besar gagal mengenali tanda-tanda dan simptom penyakit tersebut.
Antara penyakit mental yang umum adalah kemurungan, keresahan, gangguan bipolar dan skizofrenia.
Terdapat stigma sosial yang besar berkaitan dengan penyakit mental disebabkan pendirian budaya yang dibentuk oleh kepercayaan tahyul dan salah faham.
Persepsi negatif ini kerap kali menyebabkan pesakit mental menderita dengan senyap, sering kali diketepikan oleh masyarakat dan tiada harapan walaupun betapa tipis untuk mendapat sokongan, apalagi pemulihan.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Ng Chong Guan, atas sebab-sebab ini, pesakit mental enggan mendapatkan rawatan atau mencari pertolongan.
Mereka sebenarnya sangat menderita sehingga bertindak di luar batasan pemikiran dan menjadikan segalanya telah terlambat.
“Itu sebab masyarakat perlu diberikan pengetahuan bahawa mereka turut bertanggungjawab membantu individu yang berada dalam krisis gangguan kesihatan mental.
“Pendekatan ini perlu dilakukan oleh semua komuniti termasuk ahli-ahli keluarga itu sendiri.
“Antaranya, ahli keluarga atau rakan terdekat perlu mengenali tanda-tanda seseorang itu berhadapan dengan masalah, murung, atau bertindak di luar kebiasaan,” katanya, yang turut memberitahu negara memerlukan 3,000 pakar psikiatri sedangkan kini jumlahnya dianggarkan hanya 300 orang.
Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Datin Dr. Ang Kim Teng berkata, dengan adanya kit pertolongan cemas untuk kesihatan mental ini sekurang-kurangnya ia dapat membantu memberikan maklumat kepada masyarakat tanda-tanda gangguan kesihatan mental dan bertindak sewajarnya dalam memberikan bantuan kepada mereka atau berhadapan dengan masalah kemurungan.
“Sekarang apa yang berlaku, sebaik sahaja individu itu didapati menghidap kesihatan mental, dia terus dihantar untuk mendapatkan rawatan, sedangkan masyarakat juga boleh membantu dengan pendekatan yang baik.
“Antaranya, dengan memberikan sokongan, berkongsi masalah, cuba berhubung dengan mereka, bertindak wajar apabila terdapat tanda-tanda yang luar biasa pada individu berkenaan.
“Masyarakat sebenarnya perlu tahu, kita mempunyai sebuah persatuan yang khusus untuk mereka yang memerlukan pertolongan kesihatan mental. Setakat ini tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan persatuan ini,” katanya.
Bantuan kecemasan ini katanya, boleh digunakan oleh individu terdekat dengan mereka yang berhadapan masalah mental.
Sumber:

Sumber: Utusan Online