Petani Di Yan Rugi Tanah Jerlus


ALOR SETAR - Petani di Kampung Kuala Dulang Besar, gusar memikirkan nasib mereka yang bakal berdepan kerugian ribuan ringgit berikutan padi tidak dapat dituai akibat masalah tanah jerlus.

Bagi seorang petani, Mohd Syatri Abd Rahman, 40, berkata, hampir 50 hektar sawah padi milik penduduk kampung berkenaan menghadapi masalah tanah jerlus yang serius.

“Masalah tanah jerlus ini sangat serius sehingga jentera penuai tidak dapat masuk kawasan bendang sedangkan padi dah masak,” katanya memetik Sinar Online.

Menurutnya, usia padi yang ditanam mereka sudah mencecah 160 hari sedangkan proses menuai boleh dilakukan setelah 100 hari.

“Kebanyakan padi sudah luruh dan kering menyebabkan kualitinya menjadi kurang dan akan menyebabkan petani berdepan kerugian.

“Masalah tanah jerlus berlaku sebab tanah bendang pada musim ni tak cukup kering menyebabkan tanah menjadi terlalu liat dan sukarkan pergerakan jentera penuai di dalam petak sawah,” ujarnya.

Jelas Mohd Syatri, jika diikutkan sepatutnya musim ini aktiviti menuai sudah selesai dan petani boleh membajak dan menanam semula padi.

“Namun begitu, masalah tanah jerlus ini telah melambatkan proses penuaian,” katanya.

Bagi Halim Man, 68, yang juga seorang petani berkata, dia perlu mengeluarkan kos yang tinggi bagi menuai padi miliknya.

“Nak biar padi tu rosak sayang jadi mahu tak mahu, saya terpaksa keluarkan modal upah orang tuai padi saya secara manual.

“Nak buat sorang diri memang tak mampu sebab mengerat (menuai) ambil masa yang sangat lama kerana perlu dibuat secara berhati-hati.

“Kena buat pelan-pelan sebab kalau pergerakan kasar nanti padi pula yang luruh,” jelasnya.

Tambah Halim, dia mula risau memikirkan jadual tanaman musim baharu akan datang pada April nanti sedangkan hasil padi musim ini belum lagi selesai sepenuhnya.

“Pendapatan memang terjejas teruk terutama mereka yang masih mempunyai anak sekolah sangat merasai beban peritnya.

“Dulu bolehlah untung bersih ribuan ringgit, sekarang nak sebut ribu-ribu pun dah tak dapat,” katanya.

Mengakui masalah sama, Ishak Mahmud, 61, yang mengusahakan dua hektar sawah padi turut mengalami masalah sama.

“Boleh dikatakan separuh daripada tanaman padi saya tak dapat dituai disebabkan masalah tanah jerlus.


“Nak buat macam mana bagi yang mampu boleh la upah orang mengerat (menuai) kalau tak mampu memang akan biar sajalah sebab nak buat sorang diri tak boleh,” katanya.

Lewatkan bekalan air

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Dulang Besar, Abu hasan Saidin, 58, berkata, seramai 30 petani di sekitar kampung ini mengalami masalah sama.

“Keadaan ini bukan sahaja rugikan petani malah kerajaan turut menanggung kerugian kerana jumlah pengeluaran padi bakal berkurangan.

“Difahamkan bukan kawasan kami sahaja yang hadapi masalah ni malah banyak lagi lokasi lain yang alami masalah sama,” katanya.

Menurutnya, bagi jadual penanaman semula untuk musim seterusnya dia berharap pihak bertanggungjawab akan melewatkan bekalan air sehingga 15 April.

“Minta depa lewatkan bekalan air kepada kami sebab keadaan sekarang belum menunjukkan tanda air yang ada akan kering,” katanya.

Susulan itu, mengulas lanjut hal berkaitan, Ahli jemaah pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Guar Chempedak, Saidin Kassim berkata, masalah ini berlaku sejak tahun lalu.

“Sepatutnya Disember lalu petani dah boleh mula menuai tapi keadaan tanah jerlus menghalang mereka berbuat demikian.

“Sekarang ni kebanyakan pesawah dah mula menuai menggunakan kaedah tradisional iaitu menuai padi menggunakan pisau,” ujarnya.

Katanya, menuai menggunakan kaedah manual menjadi lambat namun petani tiada pilihan.

“Saya berharap kerajaan dapat buka mata akan masalah yang dihadapi golongan petani ini.

“Bantulah mereka dari segi pemberian wang ihsan bagi membolehkan beban hidup mereka dapat dikurangkan,” katanya. - Kedahnews.com