Polis Bukan 'Pak Turut' Kerajaan, Makan Gaji Buta - PM Najib


KUALA LUMPUR -Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan kenyataan sesetengah pihak kononnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) adalah ‘pak turut’ Kerajaan dan makan gaji buta.

Malah, Datuk Seri Najib turut mempersoal dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya polis yang mendorongnya memecat Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Tegasnya, tuduhan yang dibuat Tun Mahathir dan beberapa pihak lain itu adalah tidak berasas.

“Saya juga kesal dengan tuduhan melulu yang dibuat oleh sesetengah pihak. Ada juga cuba melahirkan persepsi serong dengan melabelkan PDRM 'pak turut' Kerajaan, makan gaji buta dan kadar jenayah makin meningkat.

“Ini semua adalah tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Terbaharu pula ada bekas pemimpin negara berusia 93 tahun kononnya polis bersalah mendorong beliau memecat timbalan perdana menteri pada tahun 1998,” katanya pada ucapan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Jelasnya, tuduhan-tuduhan negatif itu langsung tidak menggambarkan kejayaan polis dalam mengekang jenayah di negara ini.

Ia termasuk penurunan Indeks Jenayah Tahun 2017 sebanyak 11.7 peratus, penahanan 105 individu berkaitan Daish selain mengekalkan kedudukan malaysia sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dalam Indeks Keamanan Global 2017.

Sumber: Awani