Polis Kedah Mahu Banteras Jenayah Salah Guna Dadah


ALOR SETAR - Polis negeri Kedah mahu memberi fokus utama terhadap usaha memerangi jenayah penyalahgunaan dadah demi mengekang masalah penagih baharu yang kini menunjukkan bilangan sangat membimbangkan di negeri itu.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, amat membimbangkan apabila jumlah penagih baharu di negeri ini menunjukkan angka semakin meningkat dengan rekod paling muda penagih baharu dikesan berusia 13 tahun.

"Fokus adalah kita nak mengurangkan kadar penagihan dadah di kalangan penagih-penagih  baharu, di Kedah  ini. Kalau boleh  saya nak sekat daripada penagih baharu ini terlibat dengan dadah. Di samping kita beri tumpuan kepada bekalan (dadah) tetapi yang minta (bekalan dadah) ini juga kita nak kurangkan.

"Kita (akan) fokus kepada budak sekolah kerana penglibatan budak penagih baharu seawal usia 13 tahun," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perhimpunan sambutan peringatan Hari Polis Ke-211 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, semalam.

Lantas, Zainal Abidin bersama pihaknya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik kini telah melaksanakan kajian berhubung masalah penyalahgunaan dadah itu dan kemungkinan hasil kajian itu akan dibawa ke dalam mesyuarat peringkat kerajaan negeri serta peringkat daerah.

Tambahnya, peranan memerangi jenayah dadah tidak hanya terletak kepada tugas pihak berkuasa sahaja tetapi ia adalah tanggungjawab bersama daripada semua pihak termasuk institusi keluarga itu sendiri sekali gus masyarakat setempat.

"...kita akan memaklumkan kepada kerajaan negeri untuk ambil  tindakan bersama-sama kita berkolaborasi dengan semua jabatan dan NGO (Badan Bukan Kerajaan) untuk memerangi dadah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin berkata polis negeri ini telah pun bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan memberikan jaminan proses pengundian akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"...pengundi dan masyarakat tidak perlu risau, kita akan cari (jika ada) orang yang timbulkan masalah yang telah kita kenal pasti. Kita hanya minta mereka keluar mengundi awal," katanya.

Jelasnya lagi, segala kempen yang bakal diadakan pada PRU14 harus dilakukan dengan tidak menggugat keamanan dan ketenteraman awam serta tidak melanggar Akta Pilihan Raya dan undang-undang berkaitan.

Pada majlis itu, Zainal Abidin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada empat pengamal media termasuk Wartawan Bernama Biro Kedah Nurrul Huda Ahmad Lutfi sebagai menghargai sumbangan dan peranan media kepada pasukan  polis negeri ini. - Kedahnews.com