KOTA BHARU - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan mengadakan simulasi pilihan raya umum ke-14 di setiap jajahan di negeri itu pada hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kelantan Supt Markandan Subramaniam berkata simulasi akan bermula tengah malam Sabtu dan berakhir 48 jam kemudian.
Beliau berkata simulasi berkenaan akan dijalankan di pusat-pusat pengundian dan penjumlahan undi terpilih melibatkan senario seperti bantahan terhadap keputusan undian, rusuhan sehinggalah pelaksanaan perintah berkurung jika keadaan memaksa polis untuk bertindak sedemikian.
"Kita juga akan menggunakan semua anggota keselamatan seperti Light Strike Force (LSF), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan aset-asetnya serta penggunaan 'thunder flash' dan bom asap dalam simulasi berkenaan.
"Justeru, kita meminta orang ramai untuk tidak berasa takut dengan kehadiran ramai anggota polis di sesuatu kawasan dalam tempoh tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Rabu.
Beliau berkata simulasi berkenaan merupakan kali keempat dilakukan sejak tahun lepas bagi memastikan pegawai dan anggota polis yang bertugas sentiasa bersiap siaga selain meningkatkan kecekapan mereka jika terbabit dalam insiden-insiden sedemikian.
Katanya orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan PRU14 yang turut dibuka sepanjang tempoh simulasi tersebut di talian 09-7455728 jika mempunyai sebarang pertanyaan.- BERNAMA