PPBM Mungkin Dibubar Kerana Gagal Patuhi Perlembagaannya Sendiri?


Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengemukakan notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggap sebagai kemenangan kepada ahlinya yang sentiasa istiqamah membongkar penipuan kepemimpinan parti tersebut.

Bekas Exco Pemuda PPBM, Abd. Wahazir Abd. Wahabi berkata, pengeluaran notis berkenaan membuktikan pemimpin PPBM hanyalah mementingkan kuasa semata-mata.

Jelas beliau, sejarah telah membuktikan haluan yang diwujudkan itu hanyalah untuk menjatuhkan kerajaan dan kelangsungan hayat politik yang tidak mungkin akan bertahan lama.

“Ternyata PPBM telah melanggar perlembagaannya sendiri dalam beberapa perkara termasuklah memalsukan maklumat Perhimpunan Agung Tahunan dan mewujudkan sayap haram Pemuda atau Armada tanpa peruntukan di dalam perlembagaan.

“Pemimpin-pemimpin ini akan kembali ke dahan yang pernah mereka taut dengan menjadikan rakyat sebagai mangsa termasuk memperdaya mereka dengan pelbagai retorik semata-mata membela nasib kepimpinan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

ROS telah mengemukakan satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh mengkehendaki parti tersebut menjawab serta menyerahkan semua maklumat dan dokumen kepada ROS.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim berkata, sekiranya parti tersebut gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen yang diminta, tindakan susulan daripada ROS adalah mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah pembubaran ke atas PPBM.

“Notis 14 (2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh ROS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

“Notis mengikut Seksyen 14 (2) ini dikeluarkan adalah disebabkan aduan yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli parti PPBM kepada pihak ROS yang mana maklumat tersebut diperlukan bagi melengkapkan siasatan mengenainya,” ujarnya. 

Sumber : Utusan.