PPR Terbiar Tanpa Penyelenggaraan Kerana 'Tiada Perasaan Memiliki' - Noh Omar


KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbang dasar perumahan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk membolehkan penyewa sedia ada memiliki rumah PPR berkenaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, rumah PPR yang disewa didapati terbiar tanpa penyelenggaraan yang kurang sempurna kerana tiada perasaan memiliki terhadap rumah yang diduduki itu.

“Hasil daripada lawatan turun padang ke beberapa PPR, saya melihat PPR terbiar tanpa penyelenggaraan atau pengurusan yang kurang sempurna kerana tiadanya perasaan memiliki terhadap rumah yang diduduki dengan mengganggapnya sebagai rumah sewa semata-mata.

“Untuk tujuan ini, Kementerian sedang mengkaji dasar perumahan PPR bagi membolehkan penyewa sedia ada memiliki rumah PPR berkenaan kerana terdapat dua kategori pembinaan PPR,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) yang meminta Kerajaan menyatakan adakah KPKTmempunyai perancangan untuk memberi status pemilikan kekal melalui jualan unit PPR kepada penyewa yang telah lama tinggal di sesebuah PPR di seluruh negara.

Sehingga Disember 2017, Kerajaan telah membina 84,490 unit rumah PPR yang melibatkan pembangunan 122 projek di seluruh Malaysia.

Terdapat dua kategori PPR yang dilaksanakan oleh Kementerian iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki.

Bagi PPR Disewa, Kerajaan menawarkan rumah PPR untuk sewaan pada kadar RM 124 sebulan.

PPR Dimiliki, harga jualan rumah adalah pada harga RM35,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM42,000 bagi Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Noh berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara tersebut dengan kerajaan negeri.

Ini kerana jelasnya terdapat rumah PPR yang dibina Kerajaan Persekutuaan di atas tanah kerajaan negeri.

“Oleh yang demikian, untuk kos projek PPR hak milik Kerajaan Pusat, kita akan memberi hak pemilikan kepada penyewa sedia ada.

“Untuk perkara yang melibatkan hak milik tanah kepunyaan Kerajaan Negeri pula, perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Kerajaan Negeri, ” ujarnya lagi.

Sumber: Awani