NEW DELHI- INDIA. Kumpulan aktivis di India tidak memakai baju dan memegang buah tembikai menutup payudara masing-masing sebagai tanda protes selepas seorang pensyarah mendakwa pelajar mempamerkan diri mereka seperti buah di pasar.
Profesor di Kolej Latihan Perguruan Farook di Kozhikode, Kerala itu dirakamkan ketika sedang memberi kuliah yang mengkritik golongan wanita kerana tidak menutup payudara mereka dan menyamakannya dengan 'buah tembikai dipotong dua' seperti dijual di gerai buah-buahan.
Times of India melaporkan Jouhar Munavvir berpendapat pelajar perempuan tidak mengenakan pakaian mengikut syariat Islam.
"Mereka memakai tudung, namun masih mendedahkan bahagian dada. Perbuatan mereka sama seperti bagaimana kita memotong dua buah tembikai untuk melihat sama ada ia masak atau tidak," ujarnya.
Selepas ucapan kontroversi itu menjadi tular di media sosial, kumpulan pelajar bertindak mengadakan 'protes tembikai' di luar kolej terbabit sambil membawa buah tersebut yang dipotong dua dan menggesa tindakan diambil ke atas pensyarah terbabit.
"Pensyarah sepatutnya melihat wajah kami dan bukan tubuh kami ketika mengajar," kata Pengerusi Kesatuan Pelajar Universiti Calicut, Suja P.
Sementara itu, pengetua kolej itu berkata, adalah tidak adil untuk menolak kenyataan dibuat Munavvir dalam satu sesi kaunseling, tiga bulan lalu.
"Tidak ada pelajar memfailkan aduan tentang perkara itu kerana ia adalah wacana keagamaan yang biasa," ujarnya.
Sumber - Agensi