PRU14: Umum Calon Awal Elak Sabotaj


CYBERJAYA - Langkah Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih awal adalah tepat bagi mengelak unsur sabotaj terhadap parti dan calon yang dipilih, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata langkah luar kotak yang diambil Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN akan memberi Iebih masa kepada kepimpinan parti untuk melakukan proses 'pemujukan' terhadap mana-mana pemimpin di sesuatu kawasan yang tidak dipilih sebagai calon.

"Ia sekali gus berupaya menjauhkan unsur sabotaj yang biasa terjadi sebelum ini apabila mereka yang berpengaruh tidak dicalonkan, mempengaruhi jentera parti untuk tidak melaksanakan tugas dalam kempen pilihan raya yang sedang berlangsung,” katanya dalam sidang media selepas  menyertai rakaman program bual bicara 'Orang Diparol' di Studio Al-Hijrah di sini, Isnin.

Dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Sydney, Australia, Ahad, Najib berkata BN  mungkin akan mengumumkan calon bagi PRU14 lebih awal berbanding dua atau tiga hari sebelum PRU seperti diamalkan selama ini.

Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan pengalaman sebelum ini, langkah mengumumkan calon sehari sebelum hari penamaan calon dilihat tidak lagi sesuai dilaksanakan pada PRU14 dan juga mana-mana pilihan raya selepas ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata pemilihan calon BN bagi PRU14 dibuat selepas kajian dinamik dan menyeluruh terhadap individu yang dicadangkan oleh akar umbi parti, bahagian dan negeri masing-masing.

Beliau berkata kajian dinamik itu membabitkan tiga faktor penting iaitu aspek kesedaran masyarakat mengenai kewujudan calon di sesuatu kawasan, tahap penerimaan pengundi serta daya kemenangan yang dimiliki calon tersebut.

"Kajian ini dilakukan secara dinamik, ertinya ia bukan kajian rambang.  "Jika di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen tidak ada calon yang boleh diterima masyarakat, kami lakukan pilihan kedua," katanya, serta menambah bahawa kuasa menukar calon adalah hak mutlak Najib.

Mengenai momentum sokongan dan penerimaan rakyat terhadap BN, Ahmad Zahid berkata ia semakin positif dan memberangsangkan khususnya di kawasan yang dikategorikan sebagai 'hitam' dan 'kelabu'.

Beliau juga 'lega' apabila teguran yang dibuatnya ketika melawat sesuatu kawasan diterima baik oleh seluruh anggota Umno dan jentera BN.

Berhubung kenyataannya semalam yang dilapor sedia berundur lebih awal daripada dunia politik, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk secara berseloroh berkata PRU14 adalah yang terakhir bagi dirinya jika tidak lagi dipilih Najib selepas ini.

"Jika saya masih diperlukan pengundi Bagan Datuk, saya akan berhenti sebelum usia 93 tahun," katanya.  - Bernama