BANGKOK – Setelah bermaharaja sejak sekian lama, Xaysana Keopimpha, yang digelar “Raja Dadah ASEAN” oleh media dan pihak berkuasa Thailand, akhirnya menerima hukuman setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menyeludup 1.2 juta tablet “Methaphetamine” ke negara ini.
Mahkamah Jenayah yang mengumumkan keputusannya hari ini mendapati lelaki berumur 43 tahun itu bersalah terhadap tuduhan mengikut Akta Langkah Menghukum Pelaku Kesalahan Berkaitan Narkotik 1991 dan Akta Narkotik 1979.
Bagaimanapun, kata mahkamah itu, lelaki berkenaan terlepas daripada hukuman mati kerana dia mengaku melakukan kesalahan tersebut semasa penyiasatan polis.
“Mahkamah mendapati dia bersalah kerana menyeludup dadah ke Wilayah Kerajaan Thailand dan dengan itu menjatuhi hukuman mati terhadapnya, tetapi meringankan hukuman itu kepada penjara seumur hidup,” kata mahkamah itu semalam.
Mahkamah itu juga berkata pendakwa berjaya membuktikan bahawa telefon Xaysana digunakan bagi menghubungi beberapa peniaga dadah dalam rangkaian dadahnya yang meluas di Thailand dan Malaysia, yang kemudian diberkas pihak berkuasa.
Xaysana, kata mahkamah itu, pernah menghubungi Sinudeng Ma, yang juga dikenali sebagai Kamaruddin Awang, sebelum suspek berkenaan, yang memegang kerakyatan Malaysia dan Thailand, ditangkap polis negara jiran di Kelantan pada 2 Februari tahun lepas.
Penangkapan Sinudeng diumumkan melalui satu kenyataan oleh Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman ketika itu, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Lelaki Laos itu diwakili seorang peguam sepanjang prosiding mahkamah berkaitan kes tersebut.
Xaysana, yang menampilkan dirinya sebagai ahli perniagaan berjaya dan mendakwa bersahabat dengan ramai selebriti serta tokoh dalam masyarakat Thailand, ditangkap sekumpulan anggota polis lengkap bersenjata di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dalam kesibukan orang ramai pada Januari tahun lepas.
Tinjauan terhadap akaun media sosialnya menunjukkan raja dadah itu itu mengamalkan gaya hidup mewah dan antara lain memiliki beberapa supercar serta tinggal di rumah agam yang tersergam indah.
Xaysana dan dua rakannya juga menghadapi satu lagi pertuduhan berkaitan penyeludupan dadah dan mereka dijadual dibicarakan Julai ini. – Bernama