Raja Perlis Rayu Buka Semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian


SANGLANG - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam merayu kepada kerajaan persekutuan agar membuka semula zon aliran bebas di Pos Imigresen Wang Kelian, Padang Besar dekat sini bagi membantu menjana ekonomi rakyat di kawasan itu.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, Wang Kelian sebelum ini menjadi destinasi tumpuan pelancong yang hebat terutama pada hujung minggu dan keadaan itu membolehkan penduduk menjalankan pelbagai perniagaan untuk menambah pendapatan keluarga.

"Lebih 50 bas datang ke Wang Kelian dalam satu masa dahulu, namun hari ini Wang Kelian telah menjadi 'ghost town', justeru saya merayu kepada kerajaan persekutuan agar Wang Kelian diberi nafas baharu," titah baginda pada majlis Pecah Tanah Jeti Bersepadu Sanglang di Kuala Sanglang di sini, pada Khamis.

Baginda bertitah, perkara itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau mengadakan lawatan kerja ke Perlis, baru-baru ini.

Zon aliran bebas yang memberi kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen sehingga jarak kira-kira satu kilometer dari sempadan, masing-masing di Wang Kelian dan Wang Prachan di Satun, Thailand, menjadi tarikan utama pelancong ke kawasan itu sejak sekian lama.

Bagaimanapun, kemudahan itu dihentikan berkuat kuasa 1 April 2015 atas faktor keselamatan, dan sejak itu semua warga negara Malaysia dan pelawat asing yang ingin keluar masuk melalui pos imigresen Wang Kelian-Wang Prachan, perlu mempunyai dokumen perjalanan sah.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang menetapkan wawasan pembangunan negeri dengan baik.

"Saya sentiasa percaya dengan usaha dan buah fikiran kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan masyarakat, Perlis akan melangkah lebih jauh dan mampu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat negeri ini.

"Apa yang penting ialah kesedaran dan keberanian untuk melakukan perubahan sikap dan mentaliti kepada yang lebih baik," titah baginda.

Baginda bertitah projek jeti Sanglang apabila siap kelak akan menarik minat ramai pelabur sama ada di dalam atau luar negeri, selain rakyat negeri ini berpeluang menggunakan kemudahan itu untuk berniaga hingga ke pasaran antarabangsa.

"Saya berharap kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Pengangkutan dapat terus memberi perhatian kepada projek ini supaya tiada halangan yang melintang dan terima kasih kepada pihak pemaju kerana membawa pelaburan ke negeri ini," titah baginda.- BERNAMA