Rakyat Diajak Bersyukur, Kenangi Budi Baik Kerajaan


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  mengajak seluruh rakyat untuk bersyukur dan membalas budi dengan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).


Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana hanya kerajaan Persekutuan melalui BN yang mampu membela nasib rakyat dan memberikan limpahan pembangunan selama ini.


"Tidak lama lagi raya besar nak tiba dan ketika itulah tibanya musim buah. Apabila tibanya musim buah ini ketika itu jugalah datangnya kelawar dan keluang (pembangkang) yang cuba ambil buah yang ditanam oleh orang lain.


"Bila sampai hari besar nanti, saya minta orang Kulim tolak mereka (pembangkang) dan beri sokongan kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengikut musim," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hidup Tanpa Dadah Kulim-Bandar Baharu di Masjid di Saidina Abu Bakar semalam.


Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor.


-Bernama