Rakyat Lebih Penting Janji Manifesto Ditunai, Bukannya Simbol Parti


Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan satu logo atau simbol pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini, bukanlah perkara penting kepada rakyat.


Sebaliknya, rakyat lebih mementingkan pencapaian manifesto yang dijanjikan parti...parti politik yang diundi mereka pada PRU sebelumnya, kata Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.


Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) telah berjaya menepati sebahagian besar manifesto yang dijanjikan mereka pada pilihan raya umum lalu pada 2013.


"Pada pilihan raya yang akan datang ini, kita semua akan dinilai dari segi pencapaian kita terhadap janji-janji kita pada pilihan raya yang dahulu (PRU13) dan pilihan raya yang sebelumnya (PRU12) dan bagaimana janji itu ditunai, ditepati atau tidak.


"Oleh itu, walaupun nama (logo) dia bertukar, ia lebih kurang sama sahaja. Tambah lagi, mereka (pembangkang) sudah mempunyai dua buah negeri yang ditadbir. Tentunya rakyat boleh menilai," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baucar BR1M untuk Parlimen Johor Bahru di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Johor Bahru.


Baru -baru ini Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan gabungan parti pembangkang telah bersetuju untuk menggunakan hanya satu simbol daripada empat parti dalam pakatan itu pada PRU14.


Bagaimanapun Pakatan Harapan belum menetapkan simbol parti mana yang akan digunakan. 


Keputusan itu diambil kerana Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) belum memberikan jawapan mengenai pendaftaran Pakatan Harapan kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang disiasat ekoran 400 aduan daripada ahli parti itu berhubung dakwaan melanggar perlembagaan parti.


Berikutan keputusan Pakatan Harapan menggunakan hanya satu logo atau simbol  PPBM menerusi Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menawarkan logo bunga digunakan pada PRU14.


Bagaimanapun AMK Parti Keadilan Rakyat(PKR) Permatang Pauh mencadangkan simbol 'dua bulan sabit' parti itu sebagai logo  yang 'terbaik'  kerana melambangkan 'perjuangan rakyat', berbanding  simbol tiga parti yang lain.- Kedahnews.com