KUALA LUMPUR - Edaran kad kredit di negara ini, membabitkan 9.9 juta keping setakat Disember tahun lalu, disifatkan masih terkawal dan mengikut kadar kemampuan rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata perangkaan itu merangkumi pengedaran 8.8 juta kad utama dan 1.1 juta kad tambahan.
"Setakat tempoh sama, statistik menunjukkan kita mempunyai 3.7 juta pemegang kad kredit utama di Malaysia.
"Bilangan kes muflis akibat kad kredit setakat tempoh sama pula adalah 1,598 orang atau 0.04 peratus. Justeru itu, pelbagai langkah bakal dan sedang diambil bagi memastikan perangkaan ini tidak terus meningkat," katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai jumlah pengedaran kad kredit dan kes muflis berikutan penggunaan melampaui kadar pendapatan.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) berhubung pertimbangan kerajaan menghapuskan bayaran faedah kad kredit, Othman berkata, langkah itu bakal mengundang kesan negatif dalam kalangan pengguna.
Katanya, kitaran pembayaran faedah dan pinjaman adalah punca pendapatan sektor perbankan, selain berupaya menjadi 'serampang dua mata' dalam memberikan peringatan kepada pengguna untuk sentiasa mengukur tahap kemampuan.
"Kalau hapuskan bayaran faedah seperti dilakukan United Kingdom, kita khuatir pola perbelanjaan pengguna kad kredit akan mungkin menjadi tidak berhemah.
"Oleh itu, kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan bayaran faedah bagi menjamin kelangsungan sektor perbankan dan menjaga corak perbelanjaan rakyat," katanya.
Sumber: BH Online