ISU lambakan warga asing tanpa izin (Pati) di negara ini bukan perkara baharu dan ia terlalu klise untuk diperdebatkan.
Novel setebal 500 muka surat ada klimaksnya, tetapi isu Pati jangan kata klimaks, kisahnya mendatar dan plotnya berulang. Bosan dan tak ada tanda kesudahan.
Lihat sahaja isu-isu dipermainkan di akhbar, media online dan televisyen. Setiap hari ada kisahnya. Mereka terlibat dengan jenayah. Mereka terlibat aktiviti tidak bermoral. Mereka menguasai bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan tidak kurang juga menjadi tokeh. Hebat warga asing ini.
Jika tertangkap, ke mana mereka disumbatkan? Kalau tidak terlibat dengan jenayah, mereka akan terus ditempatkan di 13 depot Imigresen di seluruh negara.
Sehingga hari ini, ada hampir 11,000 tahanan Pati di seluruh depot Imigresen. Satu angka cukup besar.
Bagaimana kehidupan mereka di dalam depot? Siapa yang tanggung mereka? Adakah kedutaan atau ahli keluarga Pati menghantar duit untuk menyara mereka dalam depot?
Jawapannya sudah tentu tidak. Mereka ditanggung sepenuhnya dan sudah tentu kos makan minum mereka ditanggung sepenuhnya sebelum mereka diusir keluar.
Setiap seorang Pati yang ditahan, kos purata harga makanan sehari adalah RM8. Jadi jumlah sehari wang dikeluarkan kerajaan adalah RM88,000. Itu baru sehari, kalau sebulan kosnya lebih RM2.6 juta dan setahun mencecah RM32 juta!
Lihat, RM32 juta sahaja kita terpaksa keluarkan untuk menanggung mereka. Mana datangnya duit itu? Duit tidak jatuh dari langit dan kerajaan tidak mencetak wang baharu semata-mata untuk menampung pembiayaan itu. Apa yang sudah pasti duit itu duit cukai yang kita bayar.
Terpanggil melihat sendiri layanan Imigresen terhadap Pati, kami melihat sendiri layanan istimewa diberikan terhadap biawak hidup ini di Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka.
Hebat Pati ini. Senang cerita hidup mereka ini mewah. Dilayan seperti putera raja. Hidup mereka hanya baring dan menunggu makanan tiba.
Dalam sehari mereka diberikan makan empat kali. Ada sarapan, makan tengah hari, minum petang dan diakhiri dengan makan malam. Begitulah ulangannya sehingga mereka diusir keluar. Sehari? Tidak. Makan hari dan ada yang makan tahun!
Menunya bukan calang-calang. Menu diluluskan Kementerian Dalam Negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan. Menunya cukup berkhasiat dan kami mencuba sendiri makanan itu. Terus terang kami cakap. Fakir miskin belum tentu dapat makanan sesedap itu.
Komandan Depot Imigresen Machap Umboo, Penolong Pengarah Imigresen Ab Ghani Ab Karim menambah, jika tahanan tidak makan nasi, mereka akan menerima dua buku roti sebagai ganti makan tengah hari dan malam.
“Kita tidak akan biarkan mereka kelaparan. Kita akan beri sebuku roti untuk makan tengah hari dan sebuku roti lagi untuk makan malam. Ini adalah permintaan mereka sendiri,” katanya.
Melihat dengan mata kepala sendiri, Cukup istimewa layanan yang Pati terima. Itu baru kos makanan belum lagi kos rawatan dan perubatan yang kita tanggung seperti demam, pening dan yang melahirkan anak.
Seorang Pati, Ali, 35, warga Myanmar yang menghuni depot itu sepanjang lima bulan berkata, makanan disediakan cukup menyelerakan.
“Hari-hari dapat makan nasi. Ada lauk ayam, ikan dan telur. Kami tidak risau kelaparan. Makanan sedap,” katanya sambil menghabiskan baki makanan tengah hari di dalam bekas makanannya.
Kalau dibiarkan, mati katak dibuatnya dan sudah tentu pemerhati luar mengambil kesempatan menghentam Imigresen Malaysia. Berita itu tidak benar. Mata kami menjadi saksi. Layanan Imigresen terhadap Pati ini terlalu istimewa.
Pati ini tiada keistimewaan buat negara. Tidak mendatangkan keuntungan malah negara kita mengalami kerugian di sebalik layanan istimewa ini.
Kalau diteliti dengan angka RM32 juta yang disalurkan kepada tahanan Pati itu, banyak yang boleh dilakukan untuk pembangunan negara dan modal insan.
Kita boleh buat sekolah. Kita boleh tampung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kita boleh bantu pekebun. Kita boleh bina hospital atau klinik.
Tetapi, setiap tahun peruntukan itu disalurkan kepada individu yang tidak sepatutnya atas nama kemanusiaan.
Sepatutnya, kos tersebut setidak-tidaknya dapat dikurangkan sekiranya Pati ditahan dihantar pulang dalam tempoh minimum dua minggu tahanan. Ini tidak, ianya memakan masa berbulan-bulan dan makan tahun.
Sebabnya? Ikuti penjelasan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali esok dalam siri kedua.
Sumber: Sinar