Rakyat Perlis Turut Nikmati Hasil Pembangunan Di Kedah


Penduduk negeri Perlis akan turut menikmati kemudahan dan faedah berikutan langkah kerajaan Persekutuan melaksanakan beberapa projek pembangunan di Kedah termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar dan rancangan membina pelabuhan baharu di Kuala Sanglang.

Bukan sahaja rakyat Perlis dan Kedah kemudahaan itu juga dimanfaat penduduk di selatan Thailand yang berjiran dengan kedua negeri di utara Semenanjung itu.

Selain pelabuhan darat dan projek Bandar Bebas Cukai (BBC) di Bukit Kayu Hitam, terbaharu Kedah   bercadang membina pelabuhan kapal dagangan termasuk  'barter trade' atau tukar barang antara negara jiran di Kuala Sanglang yang bersempadan negeri Perlis.

Pembesaran LTSAH diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa berucap menutup Eksport Muafakat Kedah 2018  Sabtu lepas sementara rancangan membina pelabuhan Kuala Sanglang dimaklumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semasa lawatan kerjasa di Ayer Hitam, Jerlun. Ahad kelmarin.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya menerima cadangan projek tersebut melalui inisiatif pihak swasta dengan kerjasama Menteri Kewangan diperbadankan (MKD).

“Projek tersebut akan menjadi hub pelabuhan utara Malaysia yang mampu menjimatkan masa lima hingga tujuh hari bagi menghubungkan laluan kargo antara negara kita dan Thailand.

“Pelabuhan yang bakal dibina itu juga akan menjadi laluan perdagangan antara Eropah dengan negara di sebelah timur seperti China dan Jepun,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk  Othman Aziz pula memberitahu  berdasarkan laporan awal melalui cadangan itu, Kuala Sanglang mempunyai kedalaman mencukupi bagi tujuan pembinaan pelabuhan baharu berkenaan.

“Selain itu, kerajaan Pusat juga bersedia memberi kerjasama bagi memudahkan cara pergerakan kargo bagi darat antara selatan Thailand melalui utara Malaysia bagi tujuan mempercepatkan transaksi perniagaan dengan mengoptimumkan laluan kereta api,” kata beliau. - Kedahnews.com