Rakyat Permatang Pauh Rugi RM60 Juta


PERMATANG PAUH – Rakyat Permatang Pauh didakwa mengalami kerugian RM60 juta peruntukan daripada kerajaan persekutuan apabila kawasan itu dimenangi oleh wakil rakyat pembangkang untuk tempoh 10 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, tiada sebarang projek pembangunan baru yang mampu dibawa oleh wakil rakyat berkenaan.

“Hampir 20 tahun Permatang Pauh tak ada peruntukan. Apa pun tak ada, sedangkan orang lain boleh dapat RM6 juta setahun. Ini kerana kita pilih emosi, nostalgia dan perasaan kepada pemimpin lama.

“Bila jadi macam itu, Ahli Parlimen (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) menang kita seronok sebab nostalgia itu kita dapat. Menang parlimen hampir 20 tahun, tapi peruntukan tak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan projek Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) 2018 di pekarangan Apartmen Permata Blok O – T, Bandar Perda, di sini, semalam.

Menurutnya, rakyat harus berfikir bagaimana nak dapatkan wang daripada kerajaan persekutuan untuk penyediaan kemudahan dan membawa lebih banyak pembangunan di kawasan setempat.

“Itu penting sebab 20 tahun Permatang Pauh kosong, tak ada apa. Saya pun kasihan tengok, macam itu saja Permatang Pauh. 20 tahun lalu sampai sekarang tetap macam itu.

“Kalau dulu ada UiTM (Universiti Teknologi Mara), UiTM itulah sampai sekarang. Kalau dulu ada apa-apa kemudahan, kemudahan itulah sampai sekarang. Masih tak ada apa-apa tambahan.

“Apa cerita? Dalam masa lima tahun ini macam-macam lagi boleh dibuat di Permatang Pauh. Rakyat kena lebih cerdik sama ada nak puas hati ataupun nak kemudahan yang dibawa oleh kerajaan,” katanya.

Pengerusi Umno Pulau Pinang itu berkata, rakyat harus bijak menilai dan jangan memilih wakil rakyat yang hanya berada di kawasan selama tiga hari dan selebihnya berada di Kuala Lumpur.

“Apa dia boleh buat kalau tak ada di sini? Baik kita cari orang yang boleh duduk sini lama dan hanya pergi Kuala Lumpur beberapa hari untuk mesyuarat dan perbincangan.

“Lebih mudah untuk kita jumpa dengan wakil rakyat. Itulah yang saya harapkan supaya kita faham keadaan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 72 projek TP1M diluluskan di Pulau Pinang dengan peruntukan sebanyak RM27 juta.

“Di kawasan Permatang Pauh ini walaupun tak banyak, tapi dah buat 14 program penyelenggaraan yang melibatkan peruntukan RM5.6 juta.

“Di kawasan ini walaupun tak ada ahli parlimen, tak sanggup kita nak lihat orang kita dan anak-anak mereka duduk dalam keadaan tak selesa,” katanya.

Sumber: Sinar