KUALA LUMPUR - Satu bancian dilakukan oleh meja Sukan NSTP merumuskan majoriti jurulatih di Liga Malaysia (Liga M) berminat menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) meskipun penggunaannya di negara ini mungkin mengambil tempoh beberapa tahun lagi.
Semalam, Ahli Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa meluluskan VAR untuk digunakan di Piala Dunia di Russia pada Jun dan Julai ini, namun atas faktor kos tinggi membataskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengguna pakai teknologi berkenaan di masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh pernah berkata yang pelaburan sehingga RM24 juta diperlukan untuk penggunaan teknologi berkenaan di negara ini, sekali gus memaksa FAM untuk melambatkan VAR paling tidak untuk tempoh tiga tahun lagi.
Namun, ia sama sekali mendapat perhatian jurulatih Liga M untuk menyuarakan sokongan terhadap VAR - satu teknologi yang dicipta untuk mengurangkan kesilapan dilakukan pengadil menerusi ulangan video.
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic; B Satiananthan (FELDA United); Kuala Lumpur, (Fabio Maciel) dan Negeri Sembilan (Azraai Khor Abdullah) masing-masing berminat dengan penggunaan VAR tatkala pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, tampak kurang bersetuju.
"Semua orang melakukan kesilapan dan sekiranya keputusan itu tepat, maka ia tepat," kata Durakovic.
"Pengadil tidak selalunya dapat melihat semua yang berlaku. Jadi saya menyokong teknologi video selagi ia tidak mengganggu permainan."
Satiananthan selaku bekas jurulatih skuad kebangsaan, yang membantu pendahulu Liga Perdana, FELDA mencatat rekod 100 peratus dalam semua saingan liga dan piala musim ini berkata, bola sepak pada masa ini terlalu pantas untuk penglihatan manusia.
"Pergerakan bola sepak moden sudah meningkat dan pengadil adalah manusia dan mereka sukar untuk menyesuaikan diri," katanya.
"Kamera VAR akan membantu menangkap apa yang tertinggal oleh pengadil. Malah, apabila gol itu dinafikan ataupun dibenarkan, maka pengadil akan diingati kerana kesilapan mereka lakukan."
Salah satu kritikan mengenai VAR yang sebelum ini diuji di England, Jerman dan Itali adalah mengenai jumlah masa diperlukan untuk pengadil video membuat keputusan.
Azraai yang baru-baru ini dilantik sebagai pengendali Negeri Sembilan berkata: "Sekiranya ia untuk kebaikan permainan, maka ia bagus.
"Tidak ada pengadil yang sempurna dan kesilapan akan berlaku tetapi sekiranya teknologi diguna pakai, maka kenapa tidak? Ia akan menjadi adil untuk kedua-dua pasukan."
Dalam pada itu, Irfan lebih gemar kepada tradisi dan percaya pengadil di padang seharusnya menjadi 'keputusan tepat' tanpa sebagai penggunaan teknologi.
"Orang ramai sentiasa mengadu sama ada gol itu dijaringkan ataupun tidak tetapi itu yang menjadikan bola sepak menarik," katanya. " Saya tidak bersetuju dengan penggunaan teknologi.
"Ia akan mendorong kepada pembaziran masa dan menentang tradisi sedia ada. Saya gembira dengan pengadil yang membuat keputusan dalam tempoh singkat biarpun mereka tersilap."
Sumber: BH Online