Ranking Jatuh: FAM Rayu TMJ Usah Undur Diri


PUJUK… Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertimbangkan semula hasrat letak jawatan selaku presiden.

Ia susulan baginda mengejutkan kancah bola sepak tempatan lewat malam tadi apabila mengumumkan perlu melepaskan jawatannya susulan ranking terburuk skuad kebangsaan yang merudum sehingga tangga ke-178 dunia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin menyatakan keputusan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu didorong kekecewaan terhadap kritikan menerusi media sosial yang kerap kali menyalahkan baginda setiap kali ranking jatuh.

“Justeru, saya bersama-sama barisan Exco FAM bersetuju untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Tunku Ismail sebagai Presiden FAM dan mahu baginda terus kekal lagi memegang jawatan sepanjang penggal ini.

“Sudah tentu jika kita membiarkan Tunku Ismail meletakkan jawatan, kita juga akan kehilangan penaja dan saya sendiri tidak dapat membayangkan siapakah yang layak untuk menggantikan tempat baginda selepas ini pula.

“Pada saya, semua ahli gabungan FAM turut sependapat yang Tunku Ismail satu-satunya insan pada masa sekarang ini yang benar-benar layak menduduki kerusi Presiden FAM,” kata Hamidin menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau turut menyatakan bahawa Tunku Ismail masih belum menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pihak ibu pejabat FAM sekali gus dianggap akan terus kekal selaku presiden badan induk bola sepak kebangsaan itu.

“Saya ingin menegaskan Tunku Ismail masih sah Presiden FAM kerana mengikut prosedur, jika mana-mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM mahu meletak jawatan, individu berkenaan perlu menghantar surat rasmi.

“Namun Exco FAM berhak menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya. Selain itu, Hamidin turut menegaskan skuad Harimau Malaya berpeluang untuk memperbaiki ranking daripada terus menjunam lagi.

Ini terutama apabila Malaysia dijadualkan berdepan Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa dan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan untuk timbal balas kedua di Beirut pada 27 Mac depan.

“Isu ranking terbaharu ini boleh diperbaiki lagi apabila skuad kebangsaan yang kini dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe, bakal memulakan aksi kalendar 2018 dengan bertemu pasukan Mongolia dan Lubnan, pada bulan ini.

“Keputusan positif bakal dicapai dan ranking Malaysia akan mula meningkat dalam kemas kini seterusnya bulan depan,” ujar Hamidin yang turut menyenaraikan beberapa penambahbaikan yang dibawa oleh Tunku Ismail.

Ini termasuk peningkatan dari segi geran tahunan untuk setiap pasukan Liga Malaysia menerusi kemasukan pelbagai penaja serta pencapaian pasukan dalam tiga tahap usia menerusi pertandingan peringkat benua Asia.

“Kredibiliti dimiliki baginda memudahkan FAM jalin kerjasama pelbagai pihak di seluruh dunia serta memperkasa hubungan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).” – Agensi