PENAMPANG - Angkara termakan dengan ajakan rakan, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh enam lelaki dalam kejadian di kaki lima berhampiran kawasan perindustrian Yue Min, dekat sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian jam 8 malam minggu lalu itu, mangsa terdahulu dikatakan bertemu dengan dua lelaki dikenalinya di lokasi itu sebelum dibawa ke kawasan kejadian.
Mangsa dipercayai keluar dari rumahnya seawal jam 8 pagi hari yang sama untuk mencari kerja sebelum dirogol beramai-ramai dalam kejadian terbabit.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi ASTRO AWANI sebentar tadi berkata, siasatan awal mendapati ketika mangsa tiba ke lokasi itu bersama dua lelaki dikenalinya, dia mendakwa ada empat lelaki lain yang turut berada di lokasi berkenaan.
"Siasatan lanjut mendapati, pada masa itu mangsa bersama sekumpulan lelaki berkenaan telah minum minuman keras dan pengadu mendakwa selepas minum beberapa gelas pengadu berasa pening.
"Remaja itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana dalam keadaan separa sedar. Dia hanya tersedar pada jam lebih kurang 11 malam.
"Mangsa mendapati bahagian kemaluannya sakit dan baju dalam, zip dan butang seluar jeans pengadu dalam keadaan terbuka," katanya.
Beliau berkata, mangsa dan ahli keluarganya kemudiannya membuat satu laporan polis sejurus kejadian itu.
"Bertindak atas maklumat dan risikan, kita berjaya menahan kesemua suspek di sebuah lokasi berhampiran Penampang Baru, dekat sini.
"Kesemua suspek ini dipercayai terlibat dalam kes ini dan tangkapan ini juga adalah bagi membantu siasatan kes," katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol berkumpulan.
Sumber: Awani