Restoran Milik Aliff Syukri Diserbu Pihak Berkuasa


RESTORAN milik pengasas produk D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Romah Makan Terlajak Laris yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor telah diserbu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), malam kelmarin.

Memetik sumber, Mynewshub difahamkan premis berkenaan diserbu oleh sekumpulan anggota penguat kuasa kerana dikatakan tidak mematuhi peraturan yang digariskan.

Dalam serbuan tersebut, beberapa peralatan termasuk meja restoran yang terletak di kaki lima berhadapan dengan premis itu telah dirampas kerana didapati menghalang laluan.

Pun begitu, Aliff dalam rakaman langsung menerusi Instagram miliknya menjelaskan restoran berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan mengakui sangat kecewa dengan tindakan tersebut.

Sementara itu, menurut jurucakap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian yang berlaku dalam masa terdekat. – Kedahnews.com