Ribuan Pesawah Kedah Terjejas Jika PH Mansuhkan Kawalan Import Beras


Nasib kira-kira 200,000 pesawah termasuk ribuan petani di Kedah  bakal terjejas sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai DAP memerintah negara jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Ini kerana Pakatan Harapan tidak lagi akan mengawal lesen mengimport beras seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto parti itu yang dilancarkan Rabu lalu.

Pakatan Harapan  mahu monopoli lesen yang diberikan kepada Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dihapuskan untuk menjamin keperluan makanan asas rak­yat dan menjaga kebajikan petani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sekiranya pemberian lesen tersebut dihentikan, mana-mana pihak boleh mengimport beras sekali gus membunuh industri tempatan.

“Kalau harga beras di luar lebih murah, orang ramai tidak akan membeli beras tempatan, ia akan memberi ancaman kepada penanam padi di seluruh negara.

“Melalui pemberian lesen tunggal, kerajaan boleh menga­wal dari segi harga tetapi jika ramai diberikan lesen, ia boleh membunuh industri tempatan dan akhirnya menyebabkan pendapatan kira-kira 200,000 penanam padi terjejas,” katanya.

Menerusi janji itu, pembangkang juga akan menilai semula Dasar Keselamatan Makanan Negara dan mewujudkan satu dasar yang lebih baik dengan cara memanfaatkan teknologi pertanian moden dan terkini.

Mengulas lanjut, Ahmad Sha­bery turut membidas janji pembangkang untuk memperjuangkan isu keselamatan bekalan makanan negara sebagai bukan perkara baharu.

Jelasnya, sejak dahulu lagi kerajaan di bawah pimpinan Ba­risan Nasional (BN) telah mengambil berat mengenai isu berkenaan dengan menyediakan semua jenis bekalan makanan di seluruh negara.

“Isu bekalan makanan negara tidak terhad kepada beras sahaja tetapi keseluruhan makanan yang boleh diperoleh rakyat di mana jua mereka berada,” katanya Ahmad Shabery selepas menyampaikan Anugerah Perkhid­matan Cemerlang kepada 119 warga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Jumaat lalu.- Kedahnews.com