ALOR SETAR - “Saya hanya sempat keluar dan laungkan azan untuk redakan ribut."
Demikian adalah reaksi Abdul Rani Bakar, 62 tahun, ketika menceritakan detik cemas sewaktu kejadian ribut yang melanda daerah Baling, Kedah, lewat petang semalam.
Semasa kejadian itu, Abdul Rani bersama-sama isterinya Che Minah Musa, 49 tahun, berada dalam bilik memandangkan di luar hujan lebat dan angin kuat.
Sedang mereka berlindung dari angin dan hujan, tiba-tiba sebuah pokok besar yang berada di belakang rumahnya tumbang lalu menghempap bahagian tengah rumah mereka.
Terkejut dan cemas dengan keadaan itu, Abdul Rani bertindak bergegas keluar dari rumah dan melaungan azan dengan harapan dapat meredakan ribut daripada terus mengganas.
Sejurus selapas itu, sebuah pokok sebesar dua pemeluk yang berada di belakang rumahnya tumbang lalu menghempap bahagian tengah rumah mereka
“Saya sedang baring pada waktu itu, kemudian pokok itu tumbang perlahan menghempap rumah saya, menyebabkan siling roboh dan jatuh atas badan saya.
"Mujur saya sempat bangun dan pergi ke depan rumah,” kata Che Minah memetik Awani.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang itu, melibatkan sebanyak 101 buah rumah telah mengalami kerosakan akibat diterbangkan angin dan dihempap pokok.
Rata-rata, mangsa pada ketika itu sedang berada di dalam rumah dan sedang bersiap untuk menantikan waktu solat Maghrib.
Ekoran insiden itu seramai, 444 orang mangsa kini terpaksa dipindahkan ke dewan orang ramai, rumah saudara-mara serta jiran untuk perlindungan.
Kejadian ribut semalam telah menyebabkan empat buah kampung terjejas termasuk Kampung Charok Shikin, Kubang Panjang, Kampung Gua Reban, Kampung Charok Bemban dan Kampung Kuala Kijang. - Kedahnews.com