ALOR SETAR - Hujan lebat dan angin kencang telah menyebabkan 20 rumah rosak dipukul ribut di Kampung Seberang Pekan, Baling, petang semalam.
Dalam kejadian 5 petang itu, terdapat rumah rosak teruk akibat dihempap pokok selain bumbung dan dinding diterbangkan angin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sekretariat Bencana Daerah Baling Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman berkata, angin kencang dan hujan lebat melanda daerah ini dua hari berturut-turut sejak kelmarin.
Jelas beliau, dalam kejadian semalam, 30 rumah di Mukim Pulai dan Kupang rosak akibat dipukul ribut.
"Petang ini pula, 20 rumah di Mukim Baling dilanda bencana itu. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya memetik MyMetro.
Tambah Md Shuhaimie, bantuan segera dihantar kepada mangsa dengan kerjasama beberapa agensi seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling dan Majlis Daerah Baling (MDB).
"Bantuan awal berupa barangan makanan dan kit bencana seperti selimut dan kain pelikat diberikan segera kepada mangsa.
"Manakala APM, MDB, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut membantu,” ujarnya.
Beliau berkata, Penghulu Mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan memberi laporan bagi memudahkan bantuan baik pulih rumah dapat dilakukan dengan segera.
Katanya, Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling akan membantu membaiki rumah yang rosak.-Kedahnews.com