Ribut Landa Lima Kampung Di Baling


BALING- Lima kampung di daerah ini dilanda ribut dalam kejadian petang semalam.

Kampung terlibat ialah Kampung Teluk Durian, Kampung Bukit Terbak, Kampung Rambong, Kampung Gabus dan Kampung Merubi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Baling, Kapten (PA), Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5 petang.

Menurutnya, angin kuat menyebabkan beberapa rumah mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok besar manakala jumlah sebenar mangsa terlibat masih belum diketahui.

“Jalan utama di Kampung Gabus yang merupakan laluan orang awam turut dihalang pokok tumbang.

“Bagaimanapun, APM Baling dengan kerjasama Majlis Daerah Baling telah memotong pokok yang menghalang jalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, APM akan mengemas kini perkembangan ribut dari semasa ke semasa.

Sumber:Sinar Online