RM200 Daftar Lesen Motor Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI – Penerima bantuan kebajikan termasuk remaja berusia 16 tahun ke atas berpeluang membuat pendaftaran lesen memandu Kelas B2 motosikal dengan bayaran hanya RM200.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Sharif berkata, pendaftaran boleh dibuat di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Tikam Batu sempena Program Myprihatin bermula 8 pagi, hari ini.

Menurutnya, antara syarat yang dikenakan termasuk warganegara Malaysia, merupakan penerima bantuan Lembaga Zakat, Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tiada senarai hitam oleh JPJ dan Polis Diraja Malaysia dan masih belum memiliki lesen memandu.

“Pemohon perlu hadir dengan membawa dua keping gambar berukuran pasport berlatar belakang putih dan dua salinan kad pengenalan,” katanya.

Menurutnya, pendaftaran Program Komuniti Satu JPJ pula telah dijalankan 23 Februari lalu di lokasi sama dan penyertaan diterima memberangsangkan.

“Ia meliputi pendaftaran program lesen memandu B2 untuk warga emas di mana syarat yang dikenakan termasuk berumur 45 tahun ke atas, tidak pernah memiliki lesen dan dikenakan bayaran hanya RM190,” katanya.

Sumber: Sinar Online