Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan 12 projek penempatan semula golongan nelayan di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata projek berkenaan sebagai merealisasikan pelan transformasi yang dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
"Bila kita sebut perkataan transformasi kita tidak mahu para nelayan menjadi orang yang terkecuali atau yang terpinggir atau orang tidak merasai proses transformasi ini, " kata Najib semasa berucap merasmikan projek penempatan semula nelayan (PSNdi Tanjung Dawai, Merbok Kedah hari ini.
Sebanyak 206 keluarga nelayan termasuk lapan bukan Bumiputera telah menduduki rumah berkenaan pada Januari lalu.
Projek tersebut yang dijadual siap 2015 bagaimanapun tertangguh lebih dua tahun selepas dilaksanakan pada 2013 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Nelayan.
Nelayan yang layak menduduk rumah tersebut hanya dikenakan bayaran RM150 sebulan.
Najib memberitahu projek itu terscetus apabila beliau melawat kawasan itu pada 31 Oktober 2012.
"Saya lihat bahawa keadaan nelayan di sini perlu dibantu untuk mengubah keadaan hidup mereka dengan cara berkesan bukan setakat nak hulur apa-apa, tetapi kita nak buat sesuatu yang boleh jamin kehidupan nelayan, " kata Perdana Menteri.
“Maka terlintaslah dan Tuhan gerakan hati saya cetuskan idea untuk penempatan semula nelayan lantas dalam ucapan belanjawan selepas itu saya umum dana RM200 juta untuk laksanakan projek ini.
“Tujuan supaya bila sebut transformasi kita tak mau para nelayan menjadi orang yang terkecuali atau orang yang terpinggir atau orang tak rasai proses transformasi,” katanya.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan Touch Point bernilai RM38,000 kepada 38 penerima dan sumbangan RM2.64 juta kepada 88 nelayan Persatuan Nelayan Kawasan di seluruh negara untuk pemantapan organisasi itu.
Selain itu Perdana Menteri berkesempatan menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM459,250 kepada nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Tanjung Dawai, Yan dan Kuala Muda.
Perdana Menteri berkata hanya kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menjaga kebajikan dan prihatin dengan nasib golongan itu.
"Transformasi ini dibawa UMNO dan rakan-rakan kita BN. Kalau nak mengharapkan pembangkang tengok manifesto dan dasar mereka,'' katanya lagi
Kehadiran Perdana Menteri semalam disambut oleh lebih 6,000 nelayan dan penduduk Tanjung Dawai. - Kedahnews.com