PETALING JAYA - Lori yang membawa produk kecantikan keluaran syarikat milik usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman terbabit dalam kemalangan.
Bercakap kepada mStar Online, Sajat berkata, kejadian membabitkan lori yang membawa muatan produk bengkungnya di China pada Rabu.
Ketika kejadian, katanya, ia dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk proses penghantaran produk ke Malaysia.
"Sangat terkilan bila lori yang nak menghala ke lapangan terbang tu terbabit dalam kemalangan jalan raya.
"Tak boleh nak buat apa, lori dan bengkung-bengkung kami pun terbakar. Jumlah kerugian kami hampir RM350,000," katanya pada Khamis malam.
Sajat berkata, pihaknya kini sedang menunggu proses insurans dan berharap semua pihak dapat bersabar berikutan kemungkinan kelewatan penghantaran produk.
Berita mengenai kemalangan itu turut dimaklumkan Sajat di laman sosial Instagramnya pada Khamis malam.
“Sedih sangat-sangat... Sajat baru dapat berita pagi tadi, lori yang sepatutnya menghantar ‘bekalan terakhir’ kepada kami, mengalami kecelakaan di jalan raya,” katanya yang turut memuat naik video kemalangan yang menunjukkan kenderaan terbakar dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, Sajat memohon maaf kepada semua pihak terutama stokis, ejen dan pelanggan yang menunggu stok produk tersebut.
“Sajat betul-betul terkilan dan serba salah sangat-sangat bila berlakunya kejadian sebegini,” katanya.
Menurut Sajat, pihaknya akan mempercepatkan proses pengeluaran produk yang baharu secepat mungkin bagi mengatasi tempahan yang telah dibuat.
Beliau juga akan mengemaskini perkembangan mengenai pengeluaran produknya dari semasa ke semasa dan berharap pelanggannya dapat bersabar.
“Harap maaf sangat-sangat dan fahami situasi kami atas bencana yang menimpa ini. Terima kasih,” ujar Sajat.
Sumber: Mstar Online