KUALA LUMPUR - "Saya bukan wanita terbaik untuk Ude dan dia sudah jumpa yang lebih baik untuk dirinya. Saya doa yang terbaik untuknya pada masa mendatang."
Begitulah luahan isteri pertama pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, Intan Liana Saleh, ketika berkongsi perkembangan status rumah tangganya bersama lelaki terbabit, yang juga suami kepada pelakon, Izreen Azminda.
Pernah membuat keputusan rela bermadu dengan aktres itu sebelum ini, namun Intan kini mengaku dirinya reda dengan apa saja ketentuan takdir dan keputusan dilakukan suaminya, termasuk perpisahan.
Semalam, Ude dan Intan hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi urusan lafaz cerai selepas pemuzik memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan yang dibuat pada 30 November 2017.
Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin, menetapkan 22 Mac depan bagi sebutan semula kes berkenaan.
Kata wanita berusia 32 tahun itu lagi, hari ini beliau dan Ude sepatutnya meraikan ulang tahun kelima perkahwinan mereka.
"Orang selalu cakap, dalam tempoh lima tahun memang akan ada banyak dugaan dalam perkahwinan. Jelas sekali, inilah dugaan buat saya yang perlu saya telan," katanya.
Menurut Intan, dirinya dan Ude juga sepakat untuk tidak membawa soal penjagaan anak ke mahkamah.
"Berkaitan penjagaan anak, hal itu adalah atas perbincangan kami bersama. Ia tak dituntut di mahkamah. Semuanya atas budi bicara saya dan dirinya.
"Ikutkan, saya tak tahu lagi apa kesudahannya kerana kes perceraian ini akan disebut semula pada 22 Mac," katanya.
Dalam pada itu, Intan juga mengaku dirinya perlu menerima hakikat beliau harus tabah untuk hidup sebagai ibu tunggal kepada dua anak.
"Sebelum ini, memang saya tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Kini, saya harus bermula dari kosong.
"Begitupun saya ada juga membuat perniagaan kecil-kecilan dalam talian, dengan menjual minyak wangi dan jamu. Insya-Allah, bulan ini saya akan lancarkan produk penjagaan bibir pula.
"Selepas ini, memang saya kena berdikari. Saya juga akan mencuba nasib mengikuti uji bakat untuk berlakon iklan," kata ibu kepada Aris Muqri, 4, dan Ariq Muqri, 1.
Sumber: BH Online